Ada kucing ada tikus, sudah kencing tolong jirus...

Lanh
SUATU subuh ketika bergegas ke masjid, terkejut saya apabila menemui selonggok lampin pakai buang berhampiran dinding tandas dan di dinding itu terlekat kertas yang ditulis dengan 'marker' merah - "Ini ke sikap orang yang mengaku Islam Melayu??? Kat mana otak anda?"

Sambil berjalan ke ruang solat masjid, ligat otak saya berfikir, mungkinkah petugas atau pencuci tandas 'sudah naik angin? Mungkinkah dia yang bertindak melonggokkan sejumlah lampin pakai buang yang dibiarkan bersepah dalam tandas masjid dan meletakkan 'tanda peringatan' itu.

Kat mana otak anda?...ya di mana 'kita meletakkan otak kita'? Saya berkata 'kita' kerana 'kita semua sama...berperangai jahat kecuali orang yang hatinya 24 jam sehari semalam bersama Allah SWT' - kita berperangai baik depan orang, tetapi apabila tiada orang memandang, kita meneruskan kebiasaan buruk kita seperti 'meninggalkan lampin pakai buang yang penuh dengan tahi dan air kencing anak-anak kita di lantai tandas, di atas dan dalam sinki.

Hari raya lalu ramailah orang singgah di masjid dalam perjalanan masing-masing. Ramai berniat murni, mereka berhenti untuk menunaikan solat. Selain solat ada yang membereskan 'panggilan azali' masing-masing. Ya, gunakanlah tandas tiada orang yang marah kerana tandas disediakan pun adalah untuk kemudahan orang ramai.

Namun apa yang dikesalkan dan menyedihkan ada sesetengah orang kita yang berperangai macam kera dapat bunga - tak tahu menghargai kemudahan yang ada. Ada tandas pakailah betul-betul; ini tidak, selepas 'berak' (maaf tulis) tak dibersihkan tandas, ada yang saja malas nak 'flush' dan jika najis 'melekit' tidak ada usaha pun untuk membersihkannya.

Jika kencing, tiada usaha untuk menjirusnya. Kadang-kadang tandas berbau teruk - "aiii sapa pula dah makan petai ni, kencing tak tahu nak jirus pula" sehingga ada satu papan tanda di sebuah masjid yang saya kunjungi, ditulis - "Ada kucing ada tikus, sudah kencing tolong jirus!

Aiii, dah kencing pun nak diingatkan supaya menjirusnya? Wahai saudara-saudariku di kalangan orang-orang Islam sekalian; takkan dalam bab menjirus tandas pun kita nak serahkan kepada AJK masjid atau tukang cuci melakukannya? Sudah, sudahlah tu, bukankah kita sudah melalui sebulan tarbiyah Universiti Ramadan, nampaknya al hasil balik asal, sikap dan perangai kita kembali sama atau lebih teruk lagi sebelum Ramadan lalu.

Apa erti tarbiyah Ramadan, jika ibu-ibu (maaflah jika ada bapa-bapa terlibat) selepas menyalin lampin pakai buang anak masing-masing membiarkannya merata-rata tempat dalam tandas masjid membuatkan 'ada insan' yang 'terganggu' dan 'geram' sehingga bertindak melonggokkannya di depan tandas dan menulis: "Ini ke sikap orang yang mengaku Islam Melayu??? Kat mana otak anda?"

"Kat mana otak anda?" - masya-Allah; ini satu pertanyaan 'ngeri'. Wahai orang Melayu Islam, adakah anda tidak terasa dengan cabaran ini? Tidak terusik hati anda? Tidak tersentuh jiwa anda? Apatah lagi jika anda orang yang melakukan 'jenayah' (membiarkan 'pampers' bersepah-sepah) tersebut!

Namun saya percaya 'penjenayah' ini mana tahu dan perasan tulisan yang meluahkan kemarahan itu kerana kebanyakan pengunjung masjid yang menyalin 'pampers' anak-anak adalah daripada kalangan 'pengembara' - mereka hanya 'touch and go' saja di masjid itu.

Mungkin kerana tahu mereka tidak akan datang lagi ke masjid berkenaan, pengunjung berkenaan mengambil sikap 'malas' untuk mencari tong sampah yang mungkin jauh kedududukannya bagi membuang 'pampers' anak masing-masing. Jadi dibiarkannya di atas dan di dalam sinki serta di atas lantai.

Ada saya nyatakan pada awal celoteh ini; "kita semua berperangai jahat kecuali orang yang hatinya 24 jam sehari semalam (ketika tidur pun dia dikira beribadat kerana berniat demikian) bersama Allah SWT. Orang ini akan terasa dipantau Allah SWT jadi tidak mungkin (insya-Allah) dia bertindak melanggarkan kehendak Allah termasuk dari segi kebersihan. Jika melakukan kesalahan pun, dia cepat-cepat bertaubat...kesalahan kecil pun sudah nampak padanya macam gunung mahu menghempapnya.

Adapun orang selain ini perlukan pemantauan manusia kerana kesalahan (dosa) bagi mereka bagaikan lalat saja. Sebahagiannya 'berperangai baik jika dilihat orang'. Jadi bagus ada masjid ditulis peringatan 'Ada kucing ada tikus, sudah kencing tolong jirus'.

Bagi 'penjenayah pembuang pampers merata-rata' pula, mungkin mereka akan 'berkelakuan baik macam malaikat' jika dipasang CCTV dalam tandas dan ditulis perkataan besar dan merah pula, 'ANDA SEDANG DIAWASI'!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan