MCA meminta agar PAS tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyatakan bantahan ke atas pertandingan ratu cantik, seperti yang dijadualkan berlangsung di Pulau Langkawi pada hari ini.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Dr Chin Tung Leong berkata PAS sepatutnya turut membantah penganjuran Pertandingan Ratu Cantik Dunia Muslimah yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia pada tahun ini.
"Jika PAS melihat pertandingan ratu cantik di Langkawi sebagai sesuatu yang tidak bagus, bagaimana pula dengan pertandingan ratu cantik dunia muslimah yang diadakan pada tahun ini tidak dibantah kepada pihak Indonesia?
"Ini menunjukkan sikap pilih kasih PAS," kata Chin yang mengulas mengenai bantahan PAS ke atas pertandingan ratu cantik 'Miss Tourism International: Show Extravaganza'.
Katanya lagi, para peserta dalam pertandingan itu sepatunya dilihat sebagai seorang duta berpendidikan dan berbakat yang mewakili negara, dan bukan hanya wanita yang berwajah cantik semata-mata.
Chin turut mempersoalkan tindakan PAS yang membangkitkan bahawa acara seperti itu merupakan program “tidak sihat”.
Sedangkan, pertandingan ratu cantik itu akan turut memberi publisiti secara global kepada Malaysia, kata pengerusi MCA Padang Serai itu lagi.
"Adakah PAS ingin mengatakan bahawa meningkatkan pelancongan, pembangunan di Kedah dan menambahkan pendapatan ke dalam tabung negara, memanfaatkan bakat, kerjasama antara pihak kerajaan-swasta sebagai sesuatu yang tidak sihat?," katanya.
Chin seterusnya menasihatkan PAS agar bercita-cita supaya Malaysia akan dapat menghasilkan “pemenang ratu cantik yang berkaliber” atau menjadi tuan rumah bagi acara Ratu Cantik Dunia.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan akan terus menyokong acara seperti itu.
Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia dipimpin kerajaan BN dan bukannya oleh PAS.
“Saya fikir PAS perlu ingat bahawa dalam negara ini, ada kira-kira 40 hingga 45 peratus bukan Islam yang juga rakyat negara ini dan berhak ke atas acara seperti ini.
“Kita perlu pastikan bahawa hak 45 peratus bukan Islam ini dihormati. Apa yang tidak haram bagi mereka, saya fikir kita mesti lakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar semalam menyatakan kekecewaan kerana kerajaan negeri membenarkan program yang didakwanya "tidak membawa budaya sihat" kepada masyarakat itu.
-malaysiakini-
*Yang dibantah bukan pertandingan tapi yang bertelanjang tu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan