Shahrukh Khan terselamat setelah pura-pura mati dicelah mayat rakan yang dibunuh Taliban

PESHAWAR: Seorang pelajar Sekolah Awam Tentera di Jalan Warsak di sini terpaksa berlakon seolah-olah dia telah mati dibunuh apabila seorang daripada ahli kumpulan Taliban memeriksa mayat pelajar-pelajar yang dibunuh dalam serangan kejam pada Selasa.

Serangan yang didakwa dilakukan oleh Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) itu dilakukan secara sistematik dengan pembunuhan pelajar dibuat dari kelas ke kelas.

Berikutan itu, seramai 132 pelajar dan sembilan kakitangan termasuk guru maut dalam insiden yang mendapat perhatian dunia itu.

Mangsa yang terselamat, Shahrukh Khan, 16, berkata, ketika tembakan dibuat, dia berjaya bersembunyi di bawah meja.

"Tetapi selepas itu, seorang lelaki memakai but hitam telah datang ke arah saya untuk memeriksa mayat sambil melepaskan tembakan ke arah badan mayat pelajar yang bergelimpangan.

"Ketika itu, saya berpura-pura seperti mati dengan menutup mata dan bersembunyi di tepi mayat rakan.

"Badan saya mengeletar. Saya tahu kematian semakin hampir. Saya tidak akan lupa but hitam yang menghampiri saya ketika itu," cerita pelajar yang masih trauma itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Nawaz Sharif mengumumkan bahawa negara itu akan berkabung selama tiga hari bermula Rabu.

"Mereka (mangsa) juga anak-anak saya. Ini satu kehilangan untuk diri saya, kehilangan bagi negara," katanya
-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan