Jauh di sudut hatinya beliau mahukan ulama yang mentadbir PAS. Sebabnya golongan ulama lebih memahami. Biarpun beliau dikatakan melawan arus dengan golongan ulama, Ahli Parlimen, Sepang, Hanipa Maidin yang juga AJK PAS Pusat menzahirkan hasratnya kepada Wartawan, ROY RASUL, semasa berbicara di Parlimen, 19 November lalu.
WARTAWAN: Saudara dilabel sebagai orang yang tidak selesa dengan ulama, apa respon saudara?
HANIPA: Saya tidak selesa dengan ulama? Sebenarnya itu satu tuduhan yang tidak betul. Malahan saya memang hendak golongan ulama tadbir PAS. Mungkin dia orang lebih memahami tetapi yang saya hendak ulama diperkasakan. Ulama juga perlu ke hadapan dalam apa-apa isu.
Sebab itu bagi saya ulama dalam PAS memang sudah ada kekuatan. Tetapi saya rasa ulama perlu dilihat lebih ke hadapan dalam sesuatu isu contohnya isu-isu rakyat.
Mereka juga harus menunjukkan mereka ini adalah pemimpin nasional dan juga pemimpin yang boleh memimpin kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Ini mungkin kerana ramai ulama atau ustaz mungkin hebat dalam aspek memberi kuliah-kuliah dan sebagainya, tetapi tidak dilihat boleh memimpin masyarakat berbilang kaum.
Contoh, apabila timbul isu-isu Islam, hudud, bible atau nama Allah, bagi saya mereka perlu ke hadapan dan memberikan hujah dan pandangan. Pandangan pandangan itu juga mesti mengambil kira bahawa orang tidak nampak Islam itu agama yang dilihat sebagai agama yang hanya menghukum orang. Namun dalam masa sama agama juga boleh menawar formula penyelesaian yang realistik kepada masyarakat dalam keadaan semasa.
Maksudnya dalam PAS ini ulama tidak ke hadapan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan?
Saya tidak kata begitu, cuma bagi saya masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk pertingkatkan peranan ulama. Ulama tidak boleh selesa setakat membaca kitab, kemudian mengajar di masjid-masjid, tetapi ulama harus dilihat mampu untuk menjadi pemimpin nasionalis, nasional dan pemimpin yang boleh semua kaum.
Ini yang kita nampak ada kelemahannya. Ini yang perlu diperkasa dan bagi saya ulama tidak ada masalah menerima kritikkan.
Sebabnya setengah ulama mereka terlampau sayang ulama sampai ke peringkat seolah-olah ulama tidak boleh ditegur. Bagi saya itu satu yang tidak betul. Lebih baik kita tegur perbaiki atau perkasakan ulama daripada menyokong tetapi merebah isu-isu ulama.
Saudara juga didakwa kononnya cenderung kepada kem yang tidak sehaluan dengan presiden, betul ke?
Dalam PAS tidak ada kem yang tidak sehaluan dengan presiden.
Kita semua satu kumpulan. Dalam muktamarlah perwakilan memilih kepimpinan di peringkat pusat itu, ada yang memilih dari golongan ulama dan ada juga daripada profesional.
Semua golongan itu bersatu dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat. Bagi saya AJK PAS Pusat tidak ada kem. Semuanya mewakili kepimpinan parti.
Cuma apabila timbul beberapa isu yang kita lihat adanya kelemahan dari segi pengurusan sesuatu isu menyebabkan apabila ada teguran-teguran tertentu orang melihat PAS ada kem.
Itu tidak betul. Kalau kita ada kem tetapi kita langsung tidak mahu bekerjasama dalam apa-apa perkara, kita tidak hadir mesyuarat.
Kita tidak pergi dalam program-program anjuran PAS dan kerana itu saya sendiri atau YB Khalid (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad mungkin digelar orang yang tidak sehaluan dengan presiden. Sedangkan kita sentiasa memberi sokongan kepada program-program parti, ‘retreat’ kita pergi, mesyuarat PAS Pusat kita pergi.
Jadi tuduhan itu tidak berasas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan