Shahbudin Husin
Sejak menarik balik sokongan dan kemudian terus-menerus melancarkan serangan dan kritikan, keinginan Mahathir Mohamad untuk menukar Najib Razak sebagai Perdana Menteri sudah tidak dapat disembunyikan lagi.
Dalam interbiu terbaru dengan Sinar Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebenarnya terdapat ramai calon yang berkelayakan boleh menggantikan Najib, tetapi UMNO menjadi penghalang kepada usaha itu.
Katanya, usaha kemasukan pemimpin baru ke dalam UMNO terhalang kerana mereka lebih senang mempertahankan pemimpin sedia ada.
Walaupun mengambil contoh mengenai apa yang berlaku di Selangor, kenyataan Mahathir ini jelas merupakan sindiran kepada pemimpin UMNO di seluruh negara yang tidak berani berubah dan tetap mempertahankan kedudukan Najib di ketika kepimpinannya makin lemah dah dipertikai dari semasa ke semasa.
Berbanding keputusan PRU 13 lebih setahun lalu di mana BN hanya meraih 47 peratus undi popular, populariti UMNO, BN dan kerajaan pasca pilihanraya terus menurun dan Najib dilihat gagal sama-sekali memperbaiki keadaan.
Dalam masa yang sama, Mahathir juga menyatakan, kemenangan tipis BN dalam pilihanraya itu bukanlah kerana imej Najib tetapi kerana ketakutan orang-orang Melayu sekiranya Anwar yang menjadi Perdana Menteri, maka Lim Kit Siang daripada DAP yang akan menjadi Timbalan Perdana Menterinya.
Ketika menyelar tindakan kerajaan melantik warga asing, Christoph R Mueller sebagai CEO MAS berkuatkuasa 1 Januari tahun depan, Mahathir berkata, ia adalah pengakuan bahawa kita ini "bodoh."
"Saya khuatir kita tidak ada kepercayaan kepada diri sendiri sehingga untuk melantik Perdana Menteri suatu hati nanti, kita akan juga akan melantik orang putih sebab mereka lebih pandai daripada kita," sindirnya lagi.
Jika difahami dengan mendalam intipati kritikan demi kritikan Mahathir terhadap Najib, terutamanya sejak kebelakangan ini, ia jelas bukan lagi teguran atau serangan biasa, tetapi lebih menjurus kepada usaha mengganti Perdana Menteri dengan pemimpin lain yang dirasakannya lebih layak dan berwibawa.
Kenyataan terbuka Mahathir bahawa ramai pemimpin yang layak mengganti Najib tetapi dihalang oleh UMNO dan kecenderungan terlalu memuja orang putih dalam kepimpinan sekarang sehingga mungkin "orang putih juga menjadi Perdana Menteri" suatu hari nanti adalah gambaran penolakan yang tidak dapat ditahan-tahan lagi yang selama ini terbuku dalam hatinya.
Tetapi, mungkin kerana menyedari belum tiba masanya atau disebabkan kepungan UMNO yang terlalu kuat, Mahathir sehingga ini belum lagi menyebut secara tepat perlunya Najib berundur dan digantikan dengan pemimpin lain.
Sambil menegur dan mengkritik, beliau hanya memberi sindiran atau kiasan mengenai kepimpinan Najib yang semakin lemah dan tidak lagi diyakini rakyat.
Namun demikian, dengan sikap Najib yang terus senyap dan berdiam diri, sementara PRU 14 hanya tinggal kira-kira 39 bulan saja lagi, sudah sampai masanya Mahathir berterus-terang sekarang ini.
Sebagaimana beliau bertindak mengkritik dan terbuka mahu Pak Lah ditukar dahulu, Mahathir juga perlu sekali lagi berterus-terang mengenai nawaitunya itu kali ini.
Tidak lagi sekadar mengkritik dan menegur secara umum, Mahathir perlu mulai berterus-terang apakah Najib mesti diundur dan digantikan dengan pemimpin lain? Tidak juga berselindung di sebalik sindirin atau kiasan.
Siapakah calon pengganti yang dimahukannya juga perlu diberitahu secara terbuka? Adakah ianya Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein atau sesiapa yang lain?
Jika tidak dinyatakan secara terbuka dan berterus-terang, kritikan dan teguran Mahathir yang berpanjangan ini seolah-olah tiada maknanya kerana secara kebarangkaliannya, Najib tidak mungkin boleh diubah lagi cara dan gayanya dalam mentadbir negara ini.
Sebaliknya, teguran dan kritikan itu hanya mengesahkan lagi ketidakmampuan UMNO dan BN untuk terus mentadbir negara ini serta merupakan bonus tambahan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU 14 nanti.
Bagaimanapun, bukan rahsia lagi Mahathir juga cuba mengelak dan tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.
Kalau sudah tidak mahu dengan Najib dan dengan Anwar juga tidak mahu, maka siapa yang dikehendakinya? Sebab itu, sudah sampailah masanya Mahathir berterus-terang dan mengumumkan siapa calon Perdana Menteri pilihannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan