PKR Pertimbang Mohon Pengampunan Diraja Untuk Anwar - Wan Azizah

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempertimbangkan pilihan terakhir untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan selama lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya dengan memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan barisan peguam suaminya terlebih dahulu.
"Kami akan mendapatkan nasihat barisan peguam untuk mempertimbangkan mengenai pengampunan terhadap Anwar. Ia melibatkan undang-undang... PKR harus memikirkannya dengan teliti. Barisan peguam juga akan berbincang (mengenai pengampunan) dengan Anwar di penjara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, malam Selasa.

Malah, Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang berkata, PKR akan memfailkan usul mengkritik prilaku hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes liwat kedua itu berhubung keputusan mengekalkan hukuman penjara terhadap Anwar.

Selain itu, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan solidariti di luar Penjara Sungai Buloh bermula malam esok.

Wan Azizah berkata, PKR akan mengadakan solat hajat pada Khamis malam Jumaat ini di setiap cabang parti itu di seluruh negara.

"Keadilan mengecam sekeras-kerasnya penghakiman kes fitnah kedua ini. Kes tersebut jelas menunjukkan satu konspirasi politik yang bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat yang semakin hari mengancam kedudukan Umno-Barisan Nasional," dakwanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh, Wan Azizah berkata, masih terlalu awal bercakap mengenai perkara itu sambil menambah kerusi tersebut masih belum dikosongkan.

"Kerusi masih belum dikosongkan... masih terlalu awal," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya hanya akan mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

"Dalam tempoh sepuluh hari daripada tarikh kekosongan, SPR akan mengumumkan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi tersebut," katanya pada Selasa.
-mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan