PUTRAJAYA - PR tidak akan membincangkan mengenai pengganti bagi jawatan Ketua Pembangkang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara selama lima tahun, hari ini.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, masih terlalu awal untuk PR membuat keputusan mengenainya.
"Kita tidak akan tergesa-gesa. Anwar masih pemimpin kita dan kita akan teruskan perjuangan beliau," katanya ketika ditemui selepas keputusan rayuan terakhir kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan.
Dalam pada itu, Rafizi turut menafikan beliau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memberi arahan agar penyokong Anwar melakukan kekecohan.
Sebaliknya, beliau mendakwa perbuatan itu dilakukan pihak tertentu yang mahu memfitnah PR.
"Ia semua konspirasi terancang kerana sejak dua hari lalu nombor telefon saya digodam. Lebih kurang setengah jam sebelum keputusan diumumkan, telefon saya sekali lagi digodam dan menghantar mesej mengatakan Anwar bersalah dan mengajak penyokong merempuh kawalan polis.
"Ini menunjukkan pihak yang melakukannya mempunyai akses teknologi. Maknanya ada pihak yang sudah siap sedia untuk fitnah kita," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan