Kenapa Mat Said Bawa Diri Ke Korea

Bawa Diri Ke Korea Lepas Gagal Usul Undi Tak Percaya?
AWAK kat mana? Ibarat lagu popular oleh Taufik Batisah, misteri kehilangan Datuk Seri Ahmad Said dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu menjadi tanda tanya kebanyakan pihak.

Sidang DUN itu disambung semula setelah ditangguhkan awal petang Selasa susulan kekecohan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akhirnya gagal dikemukakan beliau.

Menurut portal berita AgendaDaily, bukan sahaja pihak media malah semua orang tercari-cari di manakah kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kijal yang juga bekas Menteri Besar Terengganu ini ‘bawa’ diri.

Apa tidaknya, Ahmad, 56; tiba-tiba menjadi sensasi seluruh Malaysia apabila membuat kejutan pagi Selasa dengan nekad mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Ahmad Razif, 50; yang juga ADUN Seberang Takir.

Ibarat kata angin tiada, ribut tiada, hujan pun tiada, beliau lempar ‘bom’ ke dalam kubu sendiri dalam sidang itu walhal menjelang sidang DUN itu langsung memang tidak kedengaran apa-apa kontroversi politik di negeri itu.

Usul tergempar itu bagaimanapun ditolak oleh Speaker DUN, Datuk Mohd. Zuber Embong kerana ia dikemukakan tanpa notis minimum selama dua minggu sekali gus tidak mematuhi peraturan untuk mesyuarat tersebut.

Tindak tanduk Ahmad berjaya mencuri perhatian kerana perbezaan kerusi di DUN Terengganu antara wakil rakyat kerajaan dengan wakil rakyat pembangkang cuma dua orang. BN ada 17 kerusi, manakala PAS 14 dan PKR 1.
ahmad said1Macam-macam cerita timbul mengenai ketiadaan Ahmad Said pada sidang DUN. Ada yang kata beliau konon sudah ‘terbang’ pergi ke Korea Selatan untuk menghantar anaknya belajar di negara kimchi K-Pop tersebut.

Juga yang menjadi tanda tanya lebih besar apakah motif Ahmad sebenarnya sengaja cetus kejutan itu. Beliau dakwa terpaksa kemuka usul undi tidak percaya itu kerana tidak puas hati pada Menteri Besar dalam beberapa hal.

Sedangkan pada kelaziman, isu dalaman parti dan pentadbiran antara wakil rakyat kerajaan hanya diselesaikan menerusi pertemuan dan rundingan sesama sendiri khasnya ketika mesyuarat badan perhubungan UMNO negeri.

Kenapa Ahmad guna platform DUN yang boleh gugat kedudukan kerajaan BN negeri? Dakwanya beliau hanya tidak sokong Menteri Besar tetapi bukan berniat hendak menumbangkan langsung kerajaan negeri BN.

Juga katanya beliau tetap kekal dalam UMNO kecuali dipecat. Ironi penganalisis politik tempatan menilai ia mungkin ada kaitan dengan ‘angin’ politik di peringkat pusat khasnya isu panas Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perkara itu diakui Ketua Kelab Barisan Penyokong Kerajaan Terengganu dan juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang berkata tindak tanduk Ahmad agak pelik.

“Sejarah yang agak pelik apabila ada ADUN BN kerjasama dengan pembangkang untuk undi tidak percaya. Ini mungkin rentetan dari peringkat persekutuan seperti tindakan (bekas perdana menteri) Dr. Mahathir (Mohamad).
ahmad said2
Justeru katanya BN Terengganu tetap berdiri teguh di belakang Ahmad Razif di sebalik Ahmad Said kebelakangan ini beberapa kali mengkritik kerajaan negeri secara terbuka dan tidak sembunyi mengakui beliau pro-Mahathir.

Kalau diselak balik sejarah Ahmad memang tidak sunyi daripada kontroversi khususnya selepas beliau secara tiba-tiba digugurkan jawatan Menteri Besar negeri itu pada 12 Mei 2014 dan segera digantikan dengan Ahmad Razif

Pelantikan itu menyebabkan Ahmad mengisytiharkan ‘keluar’ UMNO menjadi wakil rakyat Bebas pada 13 Mei 2014. Tindakannya diikuti Ghazali Taib dan Roslee Daud yang masing-masing ADUN Ajil dan Bukit Besi.

Bagaimanapun, drama cukup adegan penuh suspens itu berakhir pantas apabila Roslee kembali kepada UMNO pada hari yang sama, disusuli dengan Ghazali dan Ahmad sendiri masing-masing pada 14 Mei 2014.

Mantan ketua kerajaan negeri itu memprotes penguguran secara mengejut jawatannya kerana dakwa konon ia memalukan maruah dirinya apabila dibuat hanya beberapa hari sahaja menjelang majlis perkahwinan anaknya.

Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008 selepas pilihan raya umum ke-13 setelah Istana Terengganu tidak perkenan pelantikan semula Datuk Seri Idris Jusoh untuk penggal kedua sebagai Menteri Besar.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan