Sidang DUN Kelantan : Pas sendiri tergugat? Sidang Dun mengikut rentak gendang dan tari Datuk Husam

PIMPINAN PAS BAWAHAN
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan telah berakhir tanpa membersihkan imej kerajaan Islam Pas Kelantan. Isu yang dibangkitkan oleh wakil tunggal Pan, Dato Husam Musa menimbulkan lebih banyak persoalan baru yang menggambarkan kerajaan sekarang pada kedudukan lemah dan tidak telus.

Pimpinan Pas bawahan hairan, kenapa begitu lemah pengurusan Kelab Penyokong (BBC) Kelantan untuk bangun mengganggu ucapan Datuk Husam yang sarat dengan tuduhan dan fakta yang boleh menghakis sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah sekarang. Bahkan ada yang membuat andaian, masih ramai penyokong Datuk Husam dalam kalangan wakil rakyat sekarang.

Sidang Dun kali ini seolah-olah mengikut rentak gendang dan tari Datuk Husam, bukan menonjolkan imej dan gagasan imej kerajaan negeri yang membentangkan Bajet 2017 bertema 'Kelantan sejahtera untuk Islam'. Amat merugikan peluang pembentangan bajet negeri yang terbaik ini disia-siakan begitu sahaja.

Exco agama dilihat terlalu emosi dan bengkeng menghadapi aura Datuk Husam yang hanya perlu bangun memohon laluan untuk bertanya. Kenapa perlu bangkit perkara tidak sepatutnya iaitu soal pemecatan Datuk Husam yang disebut gagal hadir ke jawatankuasa tatatertib Pas Pusat setelah dihantar surat. Sekali lagi Datuk Husam membuktikan pembohongan telah dibuat ke atasnya dan menafikan ada surat sedemikian.Imej exco agama sekarang terlalu buruk pada pandangan rakyat kerana tersasar daripada kebenaran dan bawa imej bengis dan sombong yang tidak lagi sesuai berada dalam saf kepimpinan Ustaz Mad yang dilihat lemah lembut.

Ketidakhadiran Timbalan Menteri Besar untuk menggulung dan menjawab persoalan tentang Ladang Rakyat juga suatu yang mendukacitakan. Kalau MB sanggup hadir dan berani menjawab isu pengambilan tanah rakyat Kampung Laut tetapi TMB membiarkan isu Ladang Rakyat yang kontroversi tidak berjawab, maka imej kerajaan Islam Pas Kelantan akan terus tercalar.

Kesilapan terbesar Speaker Dewan apabila membenarkan laporan audit dalaman berkaitan dengan Kumpulan Perkayuan Kelantan (KPK) yang dibawa oleh Datuk Husam diedarkan. Laporan tersebut tidak lagi mampu ditarik balik kerana ia sarat dengan fakta dan bukti. Maka bagi mengembalikan imej bersih kerajaan negeri, maka individu yang bertanggungjawab ke atas kelemahan dan kehilangan aset KPK tersebut perlu diambil tindakan. Ini sahaja pilihan yang ada kepada Ustaz Mad MB sebelum akan terus dilabel lemah dan tenggelam dengan pengaruh TMB yang berkepentingan sekiranya tidak berbuat apa-apa.

Pujian seharusnya diberi kepada Datuk Anuar Tan yang berani bertekak melawan adiknya Datuk Husam. Namun kegagalan memberi laluan kepada Datuk Husam untuk bertanya soalan tidak sepatutnya berlaku dan dilihat sedikit penakut. Dilihat ketidakhadiran TMB pada sesi penggulungan, ramai pemerhati telah menjangkakan sudah ada tugasan diberikan oleh parti kepada Datuk Anuar Tan untuk menangkis serangan Datuk Husam tentang isu balak tebang habis ini.

Sangkaan Datuk Anuar Tan tidak akan disangkal oleh Datuk Husam tersasar kerana menggunakan pendekatan belas kasihan kepada al marhum Tok Guru Nik Aziz dan melesek segala kelemahan pengurusan hutan negeri kepada jawatankuasa yang dipengerusikan al marhum dan dianggotai oleh Datuk Husam sendiri. Ini tidak menghalang Datuk Husam dari terus bangkit mempertahankan maruahnya yang dikatakan tercalar kerana menjatuhkan imej al marhum yang telah meninggal dunia. Misi ini juga gagal kerana Datuk Anuar Tan tidak terus memanjangkan ucapannya setelah sesi bersambung setelah solat asar. Ini ada kemungkinan Ustaz Mad MB menasihati Datuk Anuar Tan untuk berbuat demikian bagi mengurangkan ketegangan dewan yang telah berlanjutan.

Apa yang pasti segala perjalanan sidang Dun ini telah disaksikan oleh semua pihak secara hadir maupun secara atas talian dan diviralkan secara meluas oleh pihak Pas atau pembangkang. Rakyat akan terus menilai dan sesuatu perlu dilakukan segera pihak pimpinan Pas atasan untuk membetulkan kelemahan yang ada sebelum PRU yang djangka pada pertengahan tahun 2017 akan datang. Kalau perlu pecat, maka pecatlah tapi memecat Datuk Husam dari Pas adalah kesilapan terbesar Pas.

Pimpinan Pas Bawahan
-malaysiadateline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan