Video labah-labah gergasi membawa bangkai tikus tarik perhatian



Labah-labah ini membawa bangkai tikus dipercayai untuk memakannya

QUEENSLAND - AUSTRALIA. Satu rakaman menunjukkan seekor labah-labah gergasi membawa bangkai tikus ke tepi sebuah peti ais dipercayai untuk memakannya telah ditonton lebih dari 13 juta kali lapor Huffinton Post.

Jason Womal mengambil rakaman tersebut ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya serta turut sempat memuat naik video tersebut di laman Facebooknya.

Beliau juga sempat memuat naik status mengatakan dia telah menjadikan labah-labah itu haiwan peliharaannya dan menggelarnya ‘Hermie’.

Labah-labah tersebut turut dikenali sebagai ‘pemburu’ (Huntsman) di Australia manakala ‘labah-labah pisang’ di tempat lain.

Menurut pakar, labah-labah pemburu ini biasanya memakan serangga dan inverterbrata malah mereka turut meragui bahawa haiwan ini membunuh seekor tikus.

Pengurus Muzium Koleksi Labah-Labah, Graham Millage memberitahu tangkapan ini adalah satu perkara yang luar biasa untuk haiwan ini menyasarkan vertebrata namun mengatakan ia tidak mustahil.

“Kali pertama saya melihat serangga ini menangkap tikus bagaimanapun sebelum ini saya melihat ia menangkap cicak.

“Saya pernah melihat labah-labah merah menangkap seekor ular di dalam satu laman web. Selain itu, saya juga turut melihat labah-labah bola emas menangkap burung,” katanya kepada The Guardian.

Sementara itu, pakar labah-labah dan juga Fello Muzium Australia, Helen Smith merasakan bahawa labah-labah tersebut tidak membunuh tikus tersebut.

“Saya akan berasa sangat terkejut sekiranya ‘huntsman’ menyerang tikus itu dan jika itu berlaku, ia memerlukan racun yang cukup untuk menahan tikus tersebut.

“Tambahan pula, ekor tikus itu kelihatan mencurigakan dan agak keras seolah-olah haiwan itu telah mati untuk beberapa ketika,” katanya.
-sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan