Isteri orang ditangkap dengan kekasih (Gambar)


Penguat kuasa JHEAT sedang menyoal siasat pasangan kekasih yang ditahan kerana berkhalwat di sebuah rumah sewa di Kampung Atas Tol, di sini, malam tadi.
KUALA TERENGGANU - “Saya tinggal di rumah ini kerana hendak tolong jaga anak-anak dia,” demikian alasan seorang wanita yang masih berstatus isteri orang ketika dicekup berkhalwat di rumah kekasihnya di Kampung Atas Tol, di sini, malam tadi.

Rahsia wanita berusia 31 tahun itu yang bermain cinta dengan duda anak dua yang berusia 35 tahun, terbongkar apabila rumah sewa pasangannya diserbu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), kira-kira jam 10.30 malam.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil maklumat awam yang selalu terserempak wanita terbabit datang ke rumah sewa pasangannya yang bekerja sebagai penjual kad tambah nilai sebelum ini.

Wan Mohd berkata, siasatan awal mendapati wanita yang juga masih berstatus isteri kepada kakitangan kerajaan itu mendakwa mempunyai masalah rumah tangga dengan suaminya, tetapi masih belum memfailkan perceraian di mahkamah.

“Siasatan juga mendapati pasangan ini berkenalan melalui laman sosial Facebook sejak Ogos tahun lalu dan ketika serbuan, wanita itu memaklumkan sudah lebih seminggu tinggal di rumah berkenaan dengan memberi alasan mahu menjaga anak-anak kekasihnya.

“Wanita itu turut mengaku sebelum itu ada pulang ke rumah keluarganya di Pahang dan memaklumkan keluarganya termasuk suaminya langsung tidak mengetahui hubungan ‘baru’ dia bersama kekasih,” katanya.

Jelas Wan Mohd, pasangan itu juga mengaku kononnya mahu berkahwin sekiranya wanita tersebut diceraikan suaminya.

“Pasangan ini seterusnya dibawa ke pejabat JHEAT untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan