Parti itu sekarang buat kerja Umno, bidas Dr Mujahid

Datuk Dr. Mujahid Yusof RawaTanpa menyatakan nama Pas, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa menyebut tentang adanya parti cenderung menjadi penyambung politik fitnah yang lazim dilakukan Umno-BN sebelum ini.

"Yang ceramah ke hulu, ke hilir cakap DAP rasis, anti Islam, anti Melayu dulu Umno tapi sekarang ada satu parti itu, dia yang ulang apa yang pernah Umno sebut.

"Parti itu sekarang buat kerja yang Umno dulu buat," tegasnya dalam ceramah di Pekan Bukit Jenun, Pendang di Kedah malam tadi.

Menurutnya, parti berkenaan juga berkecuali terhadap usul Bajet 2017 ketika parti pembangkang lain iaitu Amanah, DAP dan PKR mengambil keputusan menolak.

"Ada satu parti ini kita pun tak tahu dia duduk mana. Sini pun tak, sana pun tak. Dalam Parlimen kita tolak bajet, tapi ada satu parti ambil sikap berkecuali.

"Dia bimbang bagaimana pegawai kerajaan nak dibayar gaji walhal parti itu pembangkang, macamlah dia kerajaan. Kita bercakap tentang RM42 bilion, RM2.6 bilion masuk poket Perdana Menteri.

"Bagi kami tak masuk akal nak minta lebih RM200 bilion tapi RM42 bilion hilang tak beritahu pergi mana," bidasnya.

Sikap pemimpin parti berkenaan juga dipertikai apabila kerap kali hadir dalam majlis disertai pemimpin Umno walaupun mendakwa kononnya menolak rejim itu.

"Ada satu parti ni kita tanya hang (kamu) nak lawan (Umno-BN) ke tak mahu? 'Aku lawan' tapi sedondon tengok sekali dalam kata habis melawan Umno," ujarnya.

Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut memberitahu sidang Dewan Rakyat akan datang bakal menyentuh isu dakwaan pemimpin tertinggi sebuah parti yang menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri.

"Ada soalan YB Hanipa kawan saya (Ahli Parlimen) dari Sepang. Khamis (9 Mac lalu) punya soalan, keluar (giliran) nombor 20, minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ambil tindakan ke atas dakwaan sebuah parti yang menerima RM90 juta.

"Benda soal dalam Parlimen, dia (kerajaan) mesti jawab pasal dah naik (Aturan Urusan Mesyuarat). Kalau Datuk Husam (Penasihat Amanah Kelantan) dakwa RM90 juta masuk dalam akaun Affin Bank, saya minta presiden parti itu saman Husam kerana memalukan parti Islam terbesar itu," ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Mujahid mengingatkan rakyat yang akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang sebenarnya tiada pilihan dengan segala kebobrokan rejim Umno-BN pada masa ini.

"Datanglah empat, 10 parti tapi hakikatnya pengundi seluruh negara hanya ada dua pilihan: Undi BN atau undi Pakatan Harapan dan Bersatu.

"Mungkin kalau BN menang, dia seronok kasi naik lagi GST. Bila dia (BN) menang lagi, semua subsidi habis ditarik balik. Rakyat tanggung dua perkara. GST naik dan harga barang semakin naik sebab tiada lagi bantuan subsidi daripada kerajaan," tambahnya lagi.

Ceramah Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh; Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew; Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Mejar (B) Annuar Abd Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Azman Nasrudin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan