Husam: Nik Amar tak perlu pusing jauh

Datuk Husam Musa mendakwa Datuk Mohd Amar Nik Abdullah tidak menafikan permohonan tanah oleh tiga buah syarikat diluluskan di peringkat Akademi Yakin Sdn Bhd yang dipengerusikan oleh timbalan menteri besar Kelantan itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkata kelulusan tersebut diberikan oleh Akademi Yakin berdasarkan surat bertarikh 3 Oktober 2016.

"Apa alasan Akademi Yakin memberikan kelulusan (tanah berkenaan)? Itu antara pertanyaan saya di DUN. Kelulusan di peringkat Akademi Yakin adalah fakta yang tak dinafikan.

"Satu daripada syarikat ini mengalami kerugian RM3.7 juta. Dua lagi tanpa rekod kewangan. Bermakna kemampuan kewangan syarikat adalah meragukan. Tetapi kenapa Akademi Yakin luluskan?" soalnya dalam satu kenyataan media.

Katanya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kemudian mengeluarkan surat arahan melalui Akademi Yakin supaya tiga syarikat berkenaan tidak membuat bayaran deposit berjumlah RM4.683 juta.

Surat untuk ketiga-tiga syarikat itu kesemuanya bertarikh 22 Mei 2017, kata Husam.

"Untuk apa bayar deposit berjuta-juta untuk permohonan ditolak? Maknanya ia dalam proses kelulusan penuh. Bayaran deposit adalah syarat kelulusan penuh. Kelulusan dasar sudah selesai.

"Termasuk dalam senarai bayaran itu ialah hasil tahunan, pendaftaran dan pengeluaran hak milik dan harga batu sempadan. Batu sempadan apa kalau ditolak?" ujarnya.

Menurut Husam, terdapat usaha untuk meluluskan tanah kepada tiga syarikat tersebut tetapi terbantut selepas pendedahan beliau.

"Percubaan meluluskan sudah ada. Pendedahan saya menyebabkan kelulusan terbantut. Lalu TMB mula mereka cerita.

"TMB tak payah berpusing jauh. Lagipun, TMB sebagai orang besar jawatankuasa tanah adalah juga Pengerusi Akademi Yakin. Orang yang sama," katanya.

Semalam, kerajaan Kelantan menafikan dakwaan Husam mengenai isu kelulusan tanah seluas 5,500 ekar yang dibangkitkan sebelum ini.

Mohd Amar berkata, permohonan tanah di Kuala Pahi, Kuala Krai itu dibuat tiga syarikat melalui syarikat Akademi Yakin dan belum diluluskan sehingga sekarang.

"Tiga syarikat ini telah kemukakan cadangan kepada Akademi Yakin, kebetulan saya pengerusinya.

"Menjadi kebiasaan kita mana-mana pelabur yang berminat mereka perlu mencari tanah dan mencadangkan projek kepada agensi-agensi kerajaan negeri.

"Apabila kita buat perbincangan dengan mengambil kira latar belakang syarikat, Lembaga Pengarah (Akademi Yakin) berpuas hati dengan kesungguhan dan kemampuan syarikat serta meluluskan projek ladang kelapa sawit.

"Maka Akademi Yakin buat permohonan kepada PTG dan (kini) masih di peringkat permohonan," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri, di Kota Bharu.
-malaysiakini 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan