Nabihah Hamid
Poster memaparkan Irene yang lebih dikenali sebagai Ibu Irene akan membimbing peserta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada 9 dan 10 Disember ini. – Gambar dari Facebook, 23 November, 2017.
PENCERAMAH agama Indonesia, Irene Handono yang dinafikan kerajaan Indonesia sebagai bukan rahib telah dijemput sekali lagi untuk mengendalikan sebuah program agama di Malaysia.
Sebuah poster memaparkan Irene yang lebih dikenali sebagai Ibu Irene akan membimbing peserta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
Program "Mengenali Kristologi" anjuran NGO Nur Fitrah itu mengenakan bayaran RM30 bagi pelajar manakala RM100 bagi orang awam.
Menurut seorang jurucakap bahagian pendaftaran, pihak penganjur sedang menyemak semula penggunaan status mantan rahib itu selepas ada pihak curiga mengenai status beliau.
"Kita dapat banyak maklum balas, sejak semalam kita terima panggilan dan WhatApps yang curiga mengenai status Ibu Irene.
"Hari ini kita tengah berkomunikasi dengan Ibu Irene, kita tengah kenal pasti sama ada tukar kepada bekas Kristian atau (kekal) bekas rahib.
"Sebab ada orang beritahu dia bukan rahib sebab masih tengah belajar (jadi rahib). Ini kita tengah dan review dan bincang dalam group (WhatApp) untuk tukar atau tidak," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau turut memberitahu ini bukan kali pertama jemputan Ibu Irene pada tahun ini.
"Tapi Malaysia dah banyak kali jemput Ibu Irene, tahun ini sudah kali kedua dia datang dah," katanya.
Difahamkan, penganjur utama adalah Nur Fitrah yang berkolaborasi dengan KUIS bagi menyediakan kemudahan untuk program dua hari itu.
The Malaysian Insight kini sedang mendapatkan kepastian mengenai program tersebut daripada pihak penganjur dan KUIS.
Pada Mei 2014, satu seminar anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencetuskan kontroversi selepas memanggil Ibu Irene dan seorang lagi penceramah, LS Mokoginta, juga dari Indonesia.
Kedua-dua dipanggil memberikan ceramah berkaitan Kristologi.
Bagaimanapun, semakan portal The Malaysian Insight bersama Bishops Conference of Indonesia (BCI) menafikan Irene seorang penganut Katolik dan Rahib.
Setiausaha BCI, Edy Purwanto berkata beliau tidak menghabiskan pembelajarannya.
"Dia tidak pernah habiskan (pembelajaran). Selepas itu kita tidak tahu dimana dia habiskan pembelajaran, dan kemudiannya bercakap pada seminar meremehkan Kristian, terutama Gereja Katolik," kata Purwanto. Sama sepertinya, LS Mokoginta, juga mendakwa dirinya bekas paderi Katolik namun BCI berkata namanya tidak ada dalam data mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan