Bede Hong
Dokumentari House of Saud: A Family at War terbitan BBC mengupas sejarah dan pergelutan keluarga diraja berkuasa itu. Episod keduanya menampilkan Najib dan 1MDB sebagai 'tetamu undangan'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2018.
PERDANA Menteri Najib Razak menjadi subjek tumpuan episod kedua rancangan BBC terbaru, “House of Saud: A Family at War”, sebuah rancangan dokumentari yang membongkar kisah keluarga diraja yang bertelagah itu.
“Rakyat Malaysia marah. Mereka percaya mereka dirompak,” kata permulaan episod itu yang disiarkan setiap hari Selasa.
Episod kedua dokumentari itu mengesan jejak mula skandal 1MDB apabila putera ketujuh Raja Saudi, Putera Turki bin Abdullah memeterai perjanjian pada penghujung 2009 untuk menerima pelaburan bernilai AS$1 bilion menerusi PetroSaudi International.
Gambar Najib bersama-sama Putera Turki, ahli perniagaan dari Pulau Pinang Low Teck Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa anak Najib berada di atas kapal layar mewah, Tatoosh.
Pertemuan itu didakwa menjadi pemula rancangan rompakan wang berbilion ringgit daripada dana pelaburan Malaysia.
Dalam wawancara bersama BBC, Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mengatakan sejumlah AS$700 juta lenyap daripada dana itu.
Dokumen yang bocor kemudiannya menunjukkan AS$681 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib pada Mac 2013, tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 berlangsung, kata Rewscastle.
Putera Turki juga didakwa menerima AS$77 juta komisyen kerana peranannya menurut e-mail yang bocor, kata dokumentari itu lagi.
Episod kedua dokumentari House Of Saud: A Family at War terbitan BBC menampilkan Najib dan 1MDB sebagai tetamu undangan. – Gambar Facebook, 18 Januari, 2018.
PetroSaudi mendakwa e-mail itu tidak tulen dan diubah.
Turut muncul dalam episod itu ialah Tony Pua dari DAP yang mengatakan beliau sudah mula mengesan jejak skandal itu sejak lapan tahun lepas.
“Kita bukan bercakap tentang sejuta dua. Kita bercakap tentang berbilion dollar dan kerajaan Malaysia masih berlagak seolah tiada apa berlaku. Tiada apa langsung yang berlaku,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu pada wawancara yang diadakan di sebuah kafe kopi itu.
“Kami dijanjikan semangkuk mee yang sedap penuh dengan daging dan sayuran serta ‘dumpling’ dan rakyat akan menikmati juadah hebat itu,” kata Pua menggunakan sepinggan mee wan-tan untuk menyatakan hujahnya.
“Saya rasa ragu. Kami tahu mereka akan curi daging dan ambil semuanya untuk mereka sendiri.
“Tetapi yang sebenarnya berlaku, yang betul-betul terjadi adalah bukan sahaja mereka ambil daging, mereka juga ambil ‘dumpling’, semua mee dan yang tinggal untuk kami rasa hanyalah kepedasan cili,” katanya.
Pua mengimbau kembali ketika Wall Street Journal membongkar kisah itu Julai 2015 mendakwa AS$681 juta dipindahkan ke akaun Najib.
“Tiada siapa percaya ia berlaku. Bagaimana seorang perdana menteri boleh jadi sebodoh itu memindahkan jumlah duit yang banyak ke dalam akaun peribadi banknya? Apabila saya jumpa rakyat di luar, mereka kata ‘semuanya berita palsu’. Tetapi kemudiannya, kami dapati ia benar,” kata Pua.
Dokumentari itu menyebut wang hasil rompakan itu kemudiannya digunakan untuk membeli antara lain, sebuah hotel di Beverly Hills, lukisan Monet dan pesawat peribadi berharga AS$33 juta.
“Malah duit itu turut dilaburkan dalam sebuah filem Hollywood. Sebuah filem yang kebetulan mengisahkan tentang korupsi dan penipuan maha hebat,” kata narator dokumentari itu merujuk kepada “Wolf of Wall Street” dibintangi Leonardo DiCaprio.
Putera Turki ditahan ketika operasi besar-besaran menghapuskan korupsi digerakkan oleh Putera Mahkhota Saudi, Mohammed bin Salman. Ratusan ditahan, termasuklah ahli keluarga diraja.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) melancarkan siasatan jenayah ke atas dana didakwa dirompak dari 1MDB dan berhasrat mahu merampas aset hartanah dan lain-lain mencecah AS$1 bilion (RM4.3 bilion).
Dalam kes sivil pula, DoJ mendakwa antara 2009 sehingga 2015 lebih daripada AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan kepada pegawai atasan dana pelaburan negara itu serta sekutu mereka.
DoJ mengatakan “Malaysian Official 1(MO1)” sebagai penerima faedah terbesar aset yang mereka mahu mereka rampas.
Identiti MO1 disahkan oleh Menteri Abdul Rahman Dahlan sebagai Najib.
Perdana menteri menafikan wujud sebarang salah laku, mengatakan wang dalam akaunya adalah derma seorang putera Saudi dan menegaskan dia sudah memulangkan kembali wang itu.
Peguam Negara Apandi Ali mengatakan Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan pada Januari 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan