Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkata Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim patut bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) jika mahu menjadi menteri besar Perlis.
"Kalau Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim) nak patutnya dia bertanding di DUN tetapi dia bertanding di Parlimen... ini yang jadi masalah... saya tidak mahu rahsia dalam diketahui luar," baginda dipetik sebagai bertitah oleh Berita Harian.
Baginda bertitah demikian setelah sembilan anggota DUN (ADUN) BN memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini telah menamakan adiknya Datuk Ismail, sebagai calon menteri besar baru.
Tolak MB 'boneka'
Bertitah dalam istiadat angkat sumpah menteri besar di Istana Arau, baginda berkata tidak mahu seorang menteri besar “boneka” yang yang boleh dikawal pihak lain.
"Seperti tuan-tuan dengar tadi sumpah menteri besar, beliau tidak boleh beritahu dan berbincang selain daripada mereka yang berada di dalam kabinet... tidak boleh keluar rahsia langsung.
"Tetapi kalaulah adik jadi menteri besar tentu dia akan beritahu kepada abang. .. Saya tidak mahu.. saya berterus terang tidak mahu orang luar mengawal Menteri Besar,” katanya merujuk kepada calon BN Perlis, Datuk Ismail, yang juga adik Shahidan.
Baginda juga mendedahkan selepas bertemu semua wakil rakyat BN sebelum ini, beliau merasakan “seperti ada grip (pegangan) lain”.
“... saya bimbang takut salah pilih Datuk Ismail Kassim... saya takut pilih Menteri Besar yang akan menjadi 'puppet' (boneka)," titah baginda.
Baginda juga mendakwa sembilan wakil rakyat BN yang tidak hadir itu “dikawal oleh seorang”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan