Dr Mahathir dan Anwar berkrisis? Kisah seram paling menyeramkan

Zainal Rashid Ahmad
MENJELANG sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, negara mula bergoncang.

Alahai! Macam tersampuk hantulah pula jadinya. Selepas PRU14, banyak berita menggerunkan. Kita dengar macam-macam. Cuma, kisah krisis kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terasa menakutkan.

Seramnya macam terserempak jembalang.

Sambil berkias-kias cerita seram ini, elok juga kita berterus-terang. Lagi pun kisah seram ini bukan rahsia pun. Ia diperbualkan secara meluas di mana-mana. Lagi pun, ia semacam berasas dan wujud titik benar.
Zainuddin Maidin (Zam) mendakwa pergerakan penasihat PKR, Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini amat mencurigakan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Apabila bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu berciap di Twitter, titik keresahan umpama mentol yang menyala secara rasmi. Zam rakan akrab Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun sudah bersara sebagai wartawan dan menteri, serta tidak partisan, Zam antara pengkritik tegar Najib Razak.

Zam agresif melalui blognya menyelar kepimpinan Najib sejak 2014 hingga jatuhnya Barisan Nasional (BN).

Malah, Zam bersama Daim Zainuddin turun berkempen di Kedah pada PRU 14 lalu.

Justeru, apabila Zam menciapkan isu yang menakutkan pada 31 Mei lalu, menimbulkan ketakutan awam. Rakyat sudah mula terasa seperti ternampak hantu.

Kita tahu ciapan itu bukan gosip politik. Zam wartawan dan bekas menteri. Apabila dia menembak sesuatu, tentulah jampinya bersebab.

Apa ciapan Zam?

Zam menyifatkan Anwar tidak sabar menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Ketika negara memerlukan konsolidasi dan kestabilan, pergerakan Anwar Ibrahim terutama dalam mengadap Raja-Raja menarik perhatian dan menimbulkan berbagai-bagai spekulasi.

“Beliau kelihatan seperti cacing kepanasan, seperti tidak sabar tunggu dua tahun lagi,” ciap Zam.

Selepas Zam, A Kadir Jasin, bekas wartawan sohor New Straits Times membangkitkan tentang Anwar. Isu yang masyarakat menerimanya sebagai mesej yang serius. Bahawa, adanya jurang persefahaman antara Dr Mahathir dan Anwar.

"Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditajukberitakan sebagai berkata beliau bimbang dengan perbezaan pendapat dalam PH.

"Saya katakan begini kepada sahabat lama saya itu: Jangan sekadar bimbang saja. Sebagai orang tua kita lakukanlah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dalam pakatan kita," tulisnya.

Malah, nada Kadir menegur lebih sinis: "Sesiapa pun, si papa atau raja akan mengundang tindak balas yang setimpal sekiranya mereka cuba menidakkan pilihan rakyat jelata dan undang-undang negara."














Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Anwar Ibrahim semasa sidang media di ibu pejabat Bersatu, Petaling Jaya pada 1 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2018.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Anwar Ibrahim semasa sidang media di ibu pejabat Bersatu, Petaling Jaya pada 1 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2018.

Isyarat

Apa akan jadi pada rakyat dan negara kalau krisis ini tidak dikawal? Jangan tolak ciapan Zam sebagai murahan. Jangan abaikan sindiran Kadir. Kita kenal Zam. Walaupun bukan best friend.Kita tahu apabila Zam menciapkan isu itu, dia punya asas untuk menghantar isyarat secara terbuka.

Hentikan politik thriller. Jangan letak rakyat dalam suasana tersihir keseraman. Kita baru lepas PRU. Kita kena hormati prinsip demokrasi. Kena berpegang pada amanat rakyat. Rakyat dah buat keputusan melalui peti undi. PH menang 122 kerusi dan berhak memerintah. Malah, dah perintah pun.

Jangan bawa filem seram. Jangan gigilkan rakyat. Negara bangsa harus terus ke depan. Dr Mahathir dan Anwar sudah ada perjanjian. Kita pun tak tahu apa jenis perjanjiannya. Tapi kita maklum perjanjian itu demi kebaikan rakyat. Maka, peganglah janji itu. Sebab persefahaman anda berdua, antara janji yang menyebabkan rakyat memilih PH.

Muslihat politik boleh dibaca. Rakyat zaman sekarang tidak melihat politik seperti era patung di balik kelir wayang kulit. Hanya nampak bayang-bayang. Era sekarang, semuanya serba digital dan berdefinisi tinggi. Jadi, hantu yang kabur pun, rakyat boleh nampak dengan jelas.

Kepada semua pihak, dengarlah suara rakyat. Sekarang rakyat mahu maju ke hadapan. Di atas sejadah pun, rakyat berdoa soal masa depan negara. Itu tanda betapa rakyat kasih akan tanah air ini.

Jadi, hentikan segera semua filem seram ini. Kesan ketakutan ini akan menjejaskan fokus rakyat. Mengugah emosi rakyat. Malah, rasa seram juga akan mengganggu pelabur, menggangu ekonomi dan mengganggu komitmen positif agensi penarafan.

Ingat! Seluruh dunia mudah merasa seram. Sebab kita memang kerap mencipta filem seram yang menakutkan.

Nauzubillah. Jauhilah Malaysia daripada kerosakan akibat kesan perpecahan yang tidak berpenghujung!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan