Annual Bakri Haron
Bergegas kembali dari surau, saya sempat mengikuti temu bual berikut Husam Musa bersama Astro Awani pada 1 Jun lalu. Daripada membiarkan ia berlalu begitu saja, izinkan saya menurunkan sedikit catatan, biar seberapa sederhana sekali pun.
Royalti
Hubungan saksama dalam semangat baru. Ini harus sebagaimana yang ada termaktub dalam manifesto. Jumlah 5 peratus royalti itu akan diberi seperti hak yang ditetapkan kepada Kelantan dan Terengganu.
Mengembalikan dasar ke landasan yang betul
Namun, semua pihak harus sedar bahawa isu nasional yang tersangat besar sedang diikhtiarkan oleh negara kita terkini ialah meletakkkan segala dasar, jalur pelaksanaan yang sedang berada dalam suasana tidak menentu, kembali ke atas landasan yang betul. Ini adalah keutamaan.
Bleeding atau pendarahan ini berlaku berikutan ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sebegitu "rampant". Semua lapisan pemimpin yang diamanahkan rakyat wajib memastikan negara kita menjalani proses penjajaran semula paksi atau tajdid terlebih dahulu.
Sebelum langkah-langkah korektif ini berjaya dilakukan, perkara-perkara lain itu akan menjadi perkara berkepentingan kedua.
Hanya setelah selesai atau kelihatan reda letak duduk semua perkara dalam urusan ini, barulah kita boleh memasuki fasa perbincangan dari hal pemberian royalti dan hal-hal yang seumpamanya.
Mekanisme baru untuk selaras royalti
Bagi Husam, kita tidak perlukan makanisme baru untuk menguruskan pemberian royalti 5 peratus itu kepada Kelantan dan Terengganu kerana kedua-dua kerajaan itu telah diangkat melalui sistem demokrasi secara sah. Ia "legitimate."
Yang hanya penting ditekankan di sini hanyalah kaedah dan jambatan pemantauan untuk memastikan wujudnya sistem urus tadbir yang baik. Ini soal "good governance". Ini hal yang penting.
Hal-hal akauntibiliti
Bukan setakat pertanggungjawaban dalam membelanjakan pendapatan royalti saja yang mesti diberikan tumpuan tetapi mesti dilihat berlaku dalam skala yang lebih luas. Aspek pembangunan, pembalakan, projek-projek bekalan air yang menggunakan pinjaman kerajaan persekutuan dan lain lain.
Pemantauan bersama
Jika kerajaan memberi pinjaman untuk membina pelbagai projek bekalan air misalnya, menjadi tanggungjawab Putrajaya jugalah untuk melakukan pemantauan secara bersama.
Jika ada teguran audit atau seumpamanya, kerajaan negeri mesti mengambilnya dalam semangat membina. Mereka tidak bolehlah lihat kritikan dan syor pembetulan itu sebagai langkah sabotaj.
Bagaimana Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu membawa kepimpinan baru di Kelantan dalam rangka sebuah kerajaan pembangkang yang sah yang lebih beramanah - ini persoalan strategik yang harus digarap bersama.
Pada akhirnya, rakyat sebagai kumpulan sasar harus menerima faedah maksimum daripada proses perkongsian pintar ini.
Islam yang memajukan
Kita berhasrat untuk memunculkan amalan Islam yang memajukan. Untuk itu semua pihak kenalah progresif. Kita harus melihat ini sebagai satu bentuk peluang untuk kerajaan Kelantan cuba bersaing dan mengorak langkah dengan sihat.
Fokus bersama kita - bagaimana HARAPAN dapat membantu kerajaan negeri. Jika pun bersaing, biarlah kita saling membangunkan ekonomi rakyat.
Semua ini harus dilihat sebagai hasrat dan peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Pengangguran
Isu kedua, kadar pengangguran di Kelantan tinggi. Walaupun kadar pengangguran di Kelantan 2.9 peratus tetapi besar kemungkinan ia kurang tepat justeru ia tidak menggambarkan situasi sebenar.
Perkara ini serius dan perlu digarap dengan cermat melalui kerjasama erat di kedua-dua peringkat kerajaaan yakni Kota Bharu dan Putrajaya.
Inter sectoral coordination across the board
Begitu juga dengan aspek pembangunan di sektor pelancongan, pertanian dan perdagangan yang lebih luas.
HARAPAN akan cuba bekerjasama dengan mencari titik-titik persamaan untuk diraikan. Mari kita lihat peluang membangunkan Kelantan dalam semangat "fastabiqul khairat" yakni berlumba-lumba membuat kerja kebajikan yang boleh membantu memulihkan kehidupan rakyat.
Keberadaan Husam?
Bila diacah tentang kerusi dalam kabinet oleh moderator, Husam ringkas menjawab yang beliau cuma bercita-cita untuk menjadi seorang kerani di Pejabat Perdana Menteri.
Adapun akan keadaan masa depan Umno itu, tiadalah dapat diketahui akan hakikat kesudahannya melainkan di akhirat jua. Katanya Umno nak dipulihkan. Bolehlah, tetapi dengan satu syarat iaitu beramanahlah dan tolak rasuah serta pembaziran.
Duit rakyat jangan dicuri. Itu pantang! Kemudian, berangkatlah dari situ secara perlahan-lahan. Akan tetapi, tidakkah Umno itu sinonim dengan rasuah? Mati hidupnya amat bergantung dengannya.
Tali sekerap rotan manau,
Galah panjang sigal Abdullah;
Mati kurap matilah panau,
Setelah badan tinggal gemulah.
ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan