200,000 korban Covid-19 di seluruh dunia

Jumlah korban Covid-19 di seluruh dunia sudah meragut lebih 200,000 nyawa pada Sabtu, manakala jumlah kes jangkitan dijangka akan mencecah tiga juta dalam beberapa hari akan datang, menurut data Reuters.

Lebih separuh korban dilaporkan oleh Amerika Syarikat, Sepanyol dan Itali.

Korban pertama yang berkaitan dengan penyakit itu dilaporkan pada 10 Januari di Wuhan, China. Dalam 91 hari, jumlah kematian yang dilaporkan mencapai sehingga 100,000 dan 16 hari seterusnya mencapai 200,000, menurut data Reuters yang diselarasnya dengan laporan rasmi kerajaan-kerajaan di seluruh dunia.

Sebagai perbandingan, terdapat kira-kira 400,000 kematian setiap tahun akibat malaria, salah satu penyakit berjangkit yang paling banyak kematian di dunia.

Amerika Syarikat telah melaporkan lebih dari 52,400 kematian pada pagi Sabtu, manakala Itali, Sepanyol dan Perancis masing-masing melaporkan antara 22,000 ke 26,000 kematian.

Dari 20 negara teratas yang paling teruk terjejas, Belgium melaporkan jumlah kematian per kapita tertinggi, dengan enam kematian daripada 10,000 orang, berbanding 4.9 kematian di Sepanyol dan 1.6 kematian di Amerika Syarikat.

Kira-kira 8 peratus kes yang dilaporkan di Amerika Syarikat membawa maut, manakala lebih daripada 10 peratus kes yang dilaporkan di Sepanyol dan Itali mengakibatkan kematian.

Walau bagaimanapun, kadar itu akan jauh lebih rendah jika jumlah jangkitan turut memasukkan kes yang tidak dilaporkan - kerana tidak semua orang yang bergejala akan membuat ujian saringan.

Asia dan Amerika Latin masing-masing melaporkan lebih dari 7,000 kematian, manakala Timur Tengah telah melaporkan peningkatan sebanyak 8,800 orang. Jumlah korban semasa di Afrika sekarang adalah sekitar 1,350.

Korban Covid-19 global terus meningkat pada kadar tiga peratus hingga empat peratus sehari selama 10 hari terakhir, walaupun kadar itu mula perlahan sejak awal bulan ini.

Jumlah korban sebenar dijangka lebih tinggi kerana banyak negara tidak memasukkan kematian yang dicatatkan di pusat perubatan dan lokasi lain di luar hospital.
-Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan