Shahbudin Husin
Ong Kian Ming, dalam artikelnya yang diterbitkan oleh Malaysiakini pada 24 April 2020 menulis tentang dilema UMNO dalam Perikatan Nasional dan kemungkinan UMNO akan meninggalkan PN dalam pilihanraya akan datang.
Saya berhasrat untuk mengulas tentang hanya satu perkara iaitu kedudukan UMNO dalam Perikatan Nasional. Agar semua pihak memahami dengan jelas kedudukan UMNO dan haluan politiknya.
UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional kerana Perikatan Nasional bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional. Hubungan UMNO dengan PN ialah hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan.
Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk Kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih dari itu.
Persefahaman ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional. Kerjasama ini diurus secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan telah melalui pelbagai proses sumbangsaran, termasuk dibincangkan di Perhimpunan Agung sebelum Piagam tersebut dimeterai.
UMNO juga mempunyai kerjasama politik yang megikat antara MCA, MIC serta PBRS melalui Barisan Nasional. BN pula adalah sebuah entiti politik yang terdaftar.
Maknanya UMNO dan Pas serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat. Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihanraya sebagai sebuah ‘coalition’. Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjsama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi.
Kerjasama ini telah diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti, projek dan program politik bersama di pelbagai peringkat agar MN dan BN semakin mengukuh.
Justeru, UMNO tidak akan menghadapi apa jua dilema tentang kedudukannya dalam Perikatan Nasional. Ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian dalam bentuk apa jua dengan PN apatah lagi PPBM dan GPS. Ia hanya menyertai Kerajaan atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia.
Sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO waktu ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi pilihanraya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan Barisan Nasional.
UMNO akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar dinegara ini dan insyallah, parti yang akan memenangi paling banyak kerusi dalam pilihanraya umum seperti lazimnya.
Bagaimana UMNO ingin melakukannya, itu adalah urusan dan strategi dalaman UMNO dengan sekutunya iaitu PAS dan BN.
Sebagai parti politik Melayu terbesar, UMNO mesti bertanding di semua kerusi tradisional nya dan kerusi yang ia sangat berpotensi untuk memang. Kekuatan UMNO adalah di kawasan ‘the Malay heartland’ dan ia akan menguatkan pengaruh, keterlihatan dan khidmatnya di semua kawasan tersebut.
Insyallah dengan dukungan jutaan ahli parti, orang Melayu serta seluruh rakyat Malaysia, UMNO akan bekerja keras untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi. Hanya dengan cara inilah, UMNO boleh menjadi parti dengan majoriti terbesar di Parlimen dan memimpin Kerajaan seperti sebelumnya.
Sesiapa yang ingin bekerjasama dengan UMNO sangatlah dialu-alukan, tetapi mestilah dengan keikhlasan dan kesediaan mereka untuk menyertai MN ataupun BN. UMNO sangat menghargai setiakawan rakan-rakannya dalam MN dan BN.
Sesuatu selain dari MN dan BN, adalah tidak strategik kepada kelangsungan UMNO.
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO
25 April 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan