Shahbudin Husin
Berdasarkan rakaman audio mesyuarat MPT Bersatu yang dibocorkan serta perkembangan semasa, adalah jelas Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti telah melakukan dua kesalahan disiplin yang serius.
Kesalahan pertama, membawa Bersatu keluar daripada PH tanpa kebenaran serta izin parti secara sah.
Ini berdasarkan keputusan sama ada Bersatu perlu keluar PH atau tidak adalah bergantung persetujuan akhir Tun Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi di mana dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari itu telah dibuat ketetapan agar beliau diberi masa seminggu untuk membuat keputusan mengenainya.
Dan sehingga hari ini, Tun Mahathir tidak pernah memberi kata putus bersetuju untuk Bersatu keluar PH.
Dengan yang demikian, tindakan Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar PH pada 24 Februari lalu adalah sesuatu yang tidak sah dan salah dari segi disiplin parti.
Kedua, selepas keluar PH dan membawa dirinya bersama sebahagian Ahli Parlimen Bersatu untuk bergabung dengan UMNO, BN, Pas dan GPS membentuk kerajaan, semalam Muhyiddin sekali lagi melakukan kesalahan disiplin dengan menandatangani memorandum persefahaman bagi penubuhan PN secara rasmi.
Hakikatnya, tindakan Muhyiddin menandatangani MOU itu tidak bersandarkan sebarang keputusan parti dan dengan itu beliau tidak berhak menandatanganinya atas nama Bersatu.
Berikutan itu, kedua-dua kesalahan yang dilakukan Muhyiddin ini sudah pun dilaporkan kepada Lembaga Disiplin Bersatu untuk disiasat dan disyorkan tindakan sewajarnya.
Atas kedudukannya selaku Presiden Bersatu dan dua jenis kesalahan yang dilakukannya itu, adalah jelas ia suatu bentuk kesalahan yang serius dan dengan itu, jika didapati bersalah, sudah barang tentu hukumannya juga adalah berat.
Dalam hal ini, adalah tidak mustahil, jika didapati bersalah, Muhyiddin boleh diambil tindakan sama ada digantung keahlian atau dipecat daripada Bersatu.
Oleh kerana Muhyiddin sekarang sudah menjadi Perdana Menteri, bagaimana dengan kedudukannya jika beliau akhirnya dipecat daripada Bersatu?
Adakah rakan-rakan dalam PN akan menolaknya juga sebagai Perdana Menteri kerana beliau sudah jadi tidak berparti?
Atau, dengan pemecatan itu akan mendorong Muhyiddin memilih untuk kembali menyertai UMNO?
Jika beliau masuk UMNO, adakah semua penyokongnya dalam Bersatu, termasuk yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, turut sedia menyertai UMNO? (Shahbudindotcom 18/05/2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan