Saya kekal setia bersama rakan-rakan yang berjuang dengan saya sebelum PRU-14 - Tun M
'Kalau mahu khianat mandat rakyat, saya sudah jadi PM untuk PN'
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa rakaman audio yang dikaitkan dengan dirinya yang tersebar di media sosial semalam adalah berniat jahat dan merupakan hasil suntingan.
Jelas Mahathir, sekiranya beliau ingin mengkhianati mandat rakyat, beliau sudah melakukannya sebelum ini lagi ketika dicalonkan sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional.
"Saya kekal setia bersama rakan-rakan yang berjuang dengan saya sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Kalau betul saya mahu mengkhianati mandat rakyat, saya boleh lakukan dahulu apabila dicalonkan sebagai perdana menteri Perikatan Nasional.
"(Tapi) saya tolak. Susah dan senang, kita bersama," katanya dalam kenyataan di Twitter.
Mahathir juga mencabar agar rakaman penuh mesyuarat Bersatu pada 23 Februari didedahkan.
Semalam, satu lagi klip audio yang dikaitkan dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Feb lalu beredar.
Kali audio ketiga itu menggambarkan suara yang dikatakan milik Mahathir yang bersetuju agar Bersatu keluar PH.
Beberapa pemimpin Bersatu yang hadir mesyuarat itu bagaimanapun menafikan kesahihan klip audio berkenaan, termasuk Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Tariq Ismail Mustafa.
Dua audio yang juga dikaitkan dengan mesyuarat Bersatu itu sebelum ini beredar di media sosial.
Dalam klip audio pertama yang bocor, individu dengan suara mirip Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya memberikan kepercayaan kepada Mahathir untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PH.
Klip audio kedua pula merakamkan suara mirip Mahathir meminta mesyuarat tidak memaksanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan.
Bersatu menyaksikan konflik dalaman selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan yang menyaksikan tumbangnya kerajaan pada Feb lalu.
Muhyiddin dan sekumpulan bekas ahli parlimen PKR kemudian bergabung dengan BN serta PAS menubuhkan Perikatan Nasional, dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Susulan itu, Mahathir ingin mencabar majoriti Muhyiddin di parlimen dengan menhantar usul undi tidak percaya.
Usul itu bagaimanapun tidak dibentangkan pada sidang parlimen sehari pada 18 Mei lalu.
Kenapa tak bincang dengan PH?
Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan Najib Razak mempersoalkan kenyataan terbaru Mahathir.
Kata Najib, sekiranya benar Mahathir tidak berniat mengkhianati PH, beliau akan berbincang dengan PH sebelum meletakkan jawatan.
"Adakah Mahathir memaklumkan mereka sebelum bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri?
"Tidak. Kenapa? Beritahu secara jujur apa sebenarnya yang berlaku ketika itu," katanya.
Untuk rekod, Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini direkodkan sebagai berkata mengetahui hasrat Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Namun, tidak dinyatakan sama ada keputusan itu dibincangkan oleh PH atau tidak.
Tidak lama selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Mahathir kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.
Bersatu bagaimanapun menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi.
Jawatan pengerusi Bersatu kini menjadi pertikaian apabila Muhyiddin melantik dirinya sebagai pemangku pengerusi dan mengabaikan penolakan peletakan jawatan Mahathir sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan