Orang ramai berang kartunis hina Dr Noor Hisham

FAZLI RADZI

Warga maya menganggap Fahmi melampaui batas menghasilkan ilustrasi menghina Ketua Pengarah Kesihatan.

Ketika Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dinamakan sebagai ‘antara doktor terbaik dunia’, lain pula halnya dengan seorang pereka grafik kontroversi, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Dia telah mengundang kemarahan orang ramai apabila memuat naik lakaran kartun menyerupai Dr Hisham di Facebook miliknya yang berada dalam mangkuk tandas dengan kapsyen “Please use the toilet”.

Karikatur mirip pakar kesihatan awam negara itu digambarkan dengan hanya muka tersembul manakala kedua-dua tangan memegang sisi mangkuk tandas seolah-olah cuba untuk bersembunyi.

Di sebelah mangkuk tandas duduk itu pula, terdapat imej pelitup muka di lantai dan bakul sampah yang di dalamnya ada kertas tertera perkataan SOP (prosedur operasi standard).

Imej seterusnya ialah seorang individu lengkap bersut hitam dan bersongkok dipercayai watak ahli politik yang sedang menolak kepala ‘Dr Hisham’ untuk terus masuk lebih ke dalam mangkuk tandas itu.

Untuk rekod, Dr Noor Hisham dinamakan sebagai antara trio wira Covid-19 selain Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat, Dr Anthony Stephen Fauci dan Pengarah Kesihatan New Zealand Dr Ashley Bloomfield.

Pengiktirafan portal The Independent, Singapura itu ditulis oleh Tan Bah Bah, editor perunding portal berita tersebut yang juga bekas penulis kanan The Straits Times.

Pada pertengahan April lalu, sebuah stesen televisyen China menobatkan Dr Noor Hisham sebagai ‘antara doktor terbaik dunia’ kerana strategi dalam menangani Covid-19 di Malaysia.

Rata-rata warga maya berang apabila memberikan emoji marah dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook milik Fahmi itu sejak semalam.

Hanya dalam tempoh 22 jam, karikatur tandas itu menerima hampir 6,000 emoji, lebih 7,400 komentar dan kira-kira 900 perkongsian.

Fahmi yang sebelum ini terkenal selepas melukis karikatur Najib dalam bentuk badut pada 2016 itu juga berkongsikan ‘karya’nya itu di Twitter.

Ramai berpendapat boleh sahaja menyindir orang politik sebaliknya melakukan kesalahan besar mempersenda penjawat awam kanan di Kementerian Kesihatan (KKM) yang disifatkan bertungkus lumus memerangi penularan pandemik Covid-19.

Bahkan, ada yang mencabar Fahmi untuk bertandang ke mana-mana daerah di Sabah, negeri yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 paling tinggi di Malaysia.

Antaranya, pengguna Facebook Muhamad Na’im Ab Razak yang menganggap Fahmi terlalu banyak masa lapang dan tidak habis-habis memberontak.

“Mari datang Semporna ni. Aku serap kau masuk pasukan disinfection (pembasmian kuman). Boleh cuci tandas awam juga kalau kau dah suka sangat dengan tandas,” tempelaknya.

Selain kutukan dalam bentuk komentar, terdapat juga warga maya yang mengecam Fahmi menerusi lakaran kartun seperti karya Palee Abu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan