FAZLI RADZI
Kesemua ahli Parlimen Umno akan terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Menara Dato’ Onn di ibu negara malam tadi.
Dalam kenyataan media yang diedar lewat malam ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, parti itu kekal dengan menolak kerjasama PKR dan DAP.
Sebaliknya, parti itu turut akan memastikan ketetapan Perhimpunan Agung Umno untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dapat terus direalisasikan.
Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 8.30 malam tadi dihadiri ramai ahli MKT dengan ada antaranya mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sebelum itu pada sebelah petangnya, satu mesyuarat tergempar berlangsung di Ibu Pejabat Umno membabitkan Ahli Parlimen BN.
Untuk rekod, MN mulanya adalah kerjasama politik dua parti dominan Melayu Islam, Umno dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.
MN kemudiannya menerima surat persetujuan daripada Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai gabungan itu, 18 Ogos lalu.
Pada masa ini, Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen sekali gus paling banyak dalam blok kerajaan PN manakala Bersatu memiliki 31 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan