ZIN MAHMUD
Akhirnya, kerajaan Amerika Syarikat akan kembali kepada normal apabila Joe Biden dapat mengalahkan Donald Trump dalam pilihan raya presiden 2020. Selama empat tahun Amerika diperintah oleh seorang yang tidak selayaknya menjadi pemimpin negara walaupun hampir separuh pengundi menyokong beliau.
Untuk menyebut mengenai Presiden Amerika adalah mudah. Ia merupakan jawatan ketua negara dan ketua kerajaan Amerika. Apa yang sukar ialah untuk mentakrifkan gerakan Islam itu sendiri.
Kalau menurut Kalim Siddiqui yang banyak menulis mengenai gerakan Islam pada tahun 1980-an, semua kumpulan Islam, termasuk parti Islam dan persatuan yang memperjuangkan Islam dianggap sebagai gerakan Islam. Tetapi beliau menulis pada zaman sebelum munculnya terorisme ekstrem atas nama Islam seperti apa yang ada pada hari ini.
Tentulah pada masa ini tidak ada mana-mana kumpulan Islam yang mahu disamakan dengan golongan ganas yang memberi nama buruk bukan saja pada umat Islam, tetapi kepada agama Islam itu sendiri. Ataupun mungkinkah istilah gerakan Islam sudah tidak relevan pada zaman ini, dan penggunaannya perlu dihentikan?
Tetapi untuk membicarakan mengenai presiden Amerika dan gerakan Islam, tumpuannya dari segi sejarah kotemporari adalah hubungan mereka dengan Iran dan Afghanistan bermula pada awal 1980-an. Itulah permulaannya. Tetapi sehingga 2020 ini, ia tetap belum berakhir.
Bagi Kalim, keseluruhan Iran itu adalah gerakan Islam. Republik Islam melayakkan negara itu menjadi gerakan Islam. Presiden Amerika pertama yang berhubung dengan Iran ketika Revolusi Islam adalah Jimmy Carter.
Kemudian ia dilanjutkan dengan pengganti-penggantinya, Ronald Reagan, George HW Bush, Bill Clinton, George W Bush, Barack Obama dan akhirnya Donald Trump.
Sesiapun yang menjadi presiden Amerika, mereka perlu menghadapi Iran dan Afghanistan. Maka begitu jugalah dengan Joe Biden.
Penglibatan Amerika dengan Afghanistan pula mempunyai ironi tersendiri. Mereka masuk ke negara itu, juga pada zaman Jimmy Carter melalui kerjasama Arab Saudi dan Pakistan.
Tujuannya adalah untuk menghalang Soviet Union daripada menguasai negara itu. Kini, Soviet Union pun sudah tiada tetapi tentera Amerika masih berada di situ untuk terus berdepan dengan Taliban.
Afghanistan sudah menjadi negara demokrasi tetapi ia tidak aman dan tidak makmur. Kerajaan yang memerintah di situ dikenali sebagai korup dengan mengamalkan nepotisme, iaitu sesuatu yang biasa di mana-mana negara Islam. Taliban menguasai sebahagian besar wilayah dan melakukan serangan dari masa ke masa hingga menimbulkan kesusahan pada rakyat biasa.
Kemudian, ada pula laporan menyatakan bahawa kehadiran tentera Amerika di Afghanistan adalah berbentuk kekal iaitu menjadikannya sebagai satu tapak pangkalan untuk memantau bukan saja Iran dan Rusia tetapi juga China yang membina laluan sutera merentas Asia tengah menghubungi Turki dengannya.
Soal geopolitik menyentuh banyak perkara yang tidak boleh dibuat kesimpulan hanya melalui laporan berita atau fakta tertentu. Ia memerlukan banyak maklumat dan para pengkaji mewujudkan institut penyelidikan untuk itu, termasuk penyediaan kertas kajian dan jurnal.
Tetapi bagi pemerhati dan orang ramai, cukuplah dengan memahami secara umum apa yang sedang berlaku dengan pemahaman bahawa pakar-pakar geopolitik yang menasihati kerajaan lebih banyak mengetahui daripada para pemerhati bebas dan wartawan.
Begitu juga dengan seorang presiden, yang asalnya orang biasa. Ada presiden yang minat terhadap isu-isu antarabangsa. Dengan minat dan pembacaan yang luas, mereka mungkin mempunyai banyak pengetahuan dan memiliki hala tuju untuk membawa negara ke mana.
Tetapi itu pun mereka tidak akan dapat mengatasi pengetahuan penasihat-penasihat yang pakar. Walaupun ada kalanya pakar pun boleh buat silap dan nasihat mereka tidak boleh dipakai. Tetapi keputusann akhir adalah di tangan presiden.
Maka, Donald Trump adalah orang biasa yang pengetahuannya mengenai isu-isu antarabangsa amat terhad. Kalau melihat rekod hidupnya, beliau juga tidak menunjukkan minat terhadap geopolitik. Walaupun beliau lulusan universiti bidang perniagaan, sebelum menjadi presiden, beliau tidak pernah bercakap mengenai hal-hal dasar luar.
Sebagai presiden, beliau bergantung pada nasihat daripada Jabatan Negara yang merupakan Kementerian Luar Amerika, Jabatan Pertahanan dan pelbagai agensi yang membentuk dasar luar negara.
Trump diberi taklimat dan pelbagai laporan berada di atas meja. Tetapi menurut laporan daripada bekas staf yang menulis buku menceritakan pengalaman mereka, Trump tidak suka mendengar taklimat atau membaca laporan. Tetapi beliau suka membuat keputusan yang tidak konvensional.
Dalam keadaan inilah Trump membuat keputusan supaya kedutaan Amerika dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Beliau setuju supaya melancarkan suatu serangan di Yaman, memanggil pulang tentera Amerika di Syria dan bersedia mengadakan rundingan dengan Taliban.
Ini bukan pula bermakna bahawa Joe Biden lebih berpengetahuan daripada Trump. Beliau juga tidak mempunyai rekod minat besar terhadap isu-isu antarabangsa. Tetapi Biden adalah naib presiden di bawah Barack Obama, dan pendedahannya terhadap geopolitik adalah normal sebagai seorang ahli politik.
Biden mempunyai reputasi sebagai seorang yang berusia, lembut dan lambat. Malah, beliau dikatakan adalah seorang pelupa dan mudah tertidur, tidaklah secergas Obama. Sama ada keputusan yang dibuatnya akan lebih baik daripada Trump akan dapat dilihat kelak.
Tetapi perlu juga dilihat faktor parti. Selain daripada jentera kerajaan dan penasihat-penasihat daripada agensi pemikir, ada satu lapisan antara kumpulan itu dengan presiden. Ia adalah penasihat-penasihat politik dari parti masing-masing.
Kedua-dua parti, Demokratik dan Republikan mempunyai fahaman politik berbeza berhubung isu-isu antarabangsa. Lebih-lebih lagi dari segi pendekatan. Perkara ini banyak dianalisis oleh ahli-ahli akademik.
Trump dari Parti Republikan dan Biden dari Parti Demokratik. Republikan mempunyai reputasi sebagai parti keras dan mengutamakan kepentingan Amerika dan dunia Barat termasuk Israel.
Demokratik pula dilihat bukan saja lembut tetapi lembik, dan lebih bersifat global. Dengan reputasi ini, adakalanya ia menjadi terbalik. Oleh kerana dikecam rakyat Amerika, maka presiden Demokratik akan menunjukkan ia lebih keras dan lebih menjaga kepentingan Amerika.
Itulah yang terjadi semasa Obama menjadi presiden. Beliau adalah dari Parti Demokratik. Beliau melancarkan serangan bom ke atas negara-negara Islam termasuk operasi membunuh Osama bin Laden.
Tetapi tidak seperti presiden sebelumnya dan selepasnya, Jimmy Carter tidak pernah melancarkan sebarang serangan pada negara lain. Beliau adalah dari Parti Demokratik.
Sikapnya juga turut menyumbang kepada kejayaan Revolusi Iran. Beliau tidak mahu menerima Shah Iran. Tetapi Iran melengahkan pembebasan tebusan sehingga habis pilihan raya presiden untuk mempengaruhi pengundian. Maka Carter kalah dan Ronald Reagan dari Parti Republikan yang lebih keras menang.
Untuk menganalisa Amerika adalah lebih mudah kerana ia merupakan sebuah negara. Tetapi untuk menganalisa dunia Islam adalah lebih sukar kerana di dalamnya terdapat banyak negara. Lebih-lebih lagi gerakan Islam yang jauh lebih sukar.
Mungkin setelah 40 tahun berlalu, satu teori baharu untuk gerakan Islam hari ini. Gerakan Islam pada masa ini berbeza daripada tahun-tahun 1980-an. Selepas 40 tahun, banyak pengalaman, sama ada kejayaan dan kegagalan telah dilalui untuk menuntut pemikiran baharu tetapi kerja-kerja ini wajar dilakukan oleh generasi pelapis.
*ZIN MAHMUD berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan