TAUFEK YAHYA
Setahun dua dahulu, heboh kedengaran kempen Buy Muslim First (BMF) atau beli barangan Muslim yang digerakkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Kempen ini turut didokong parti-parti politik pembangkang Melayu khususnya Umno dan Pas.
Tujuan kempen ini secara mudahnya adalah untuk menggalakkan orang Melayu dan Islam di negara ini untuk membeli barangan buatan pengusaha muslim. Walaupun tujuannya murni namun kaedahnya tidak semurni tujuan asal. Kempen ini disulami rasa curiga dan benci kepada produk-produk buatan bukan Melayu-Islam. Malah kempen beli barangan Muslim ini dijadikan modal politik pula dengan mainan sentimen agama dan bangsa yang keterlaluan.
Akhir-akhir ini, kempen BMF ini agak sunyi lebih-lebih lagi selepas Umno dan Pas bersama beberapa parti lain membentuk kerajaan di peringkat persekutuan melalui proses di luar tabi’ie Mac lalu. Tidak kedengaran lagi suara-suara lantang menggesa orang Melayu membeli barangan Muslim, malah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diposisikan sebagai pakatan politik berteraskan Melayu dikritik sekutu NGO-nya kerana dianggap tidak serius mempromosikan BMF setelah berkuasa.
Apakah punca sebenar gagalnya kempen BMF ini?
Jawapannya mudah. Seperti dinyatakan di awal artikel ini, BMF ini bertujuan murni tetapi kaedahnya tidaklah semurni tujuannya. Memulakan satu-satu kempen dengan bermodalkan kebencian dan kecurigaan tidak mampu menjadikan ia bertahan lama apatah lagi jika bersandarkan sentimen dan meminggirkan realiti.
Menyeru umat Islam membeli barangan buatan muslim tiada silapnya. Namun jika ia dibuat bersekali dengan seruan memboikot barangan syarikat bukan Muslim, ia adalah sesuatu yang keterlaluan apatah lagi jika bermotifkan politik sempit.
Perlu diingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama. Setiap rakyat mempunyai hak yang sama dalam perlembagaan untuk hidup secara aman dan harmoni termasuk di bidang ekonomi dan perniagaan.
Persaingan dalam semua bidang kehidupan di negara majmuk ini perlu berlangsung secara jujur dan bertanggungjawab. Tidak seharusnya sentimen agama dan bangsa dijadikan sandaran dalam apa juga kempen apatah lagi jika ia bersulamkan kebencian dan rasa curiga.
Kegiatan ekonomi khususnya makanan yang diusahakan bukan Islam tidak harus dijadikan bahan kebencian selagi ianya halal dan mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Apatah lagi jika perusahaan itu menggaji pekerja Muslim dan mematuhi peraturan halal yang ditetapkan pihak berkuasa agama.
Sebenarnya banyak barangan buatan muslim di pasaran tempatan yang diterima ramai bukan kerana sentimen agama dan bangsa, tetapi kerana kualiti barangan dan perkhidmatannya. Namun tidak kurang syarikat dan barangan yang dipasarkan atas sentimen agama dan bangsa terkandas di tengah jalan dan gagal di pasaran kerana tidak berkualiti dan rendah mutu perkhidmatannya.
Lihat sahaja produk makanan segera dikeluarkan Ramli Burger, produk barangan makanan keluaran Adabi Industries dan rangkaian pasaraya Mydin (sekadar menyebut beberapa nama) yang terus gah di pasaran tanpa perlu memainkan sentimen bangsa dan agama. Produk dan perkhidmatan yang diterajui muslim ini diterima ramai dan gah di pasaran kerana kualiti barangan dan perkhidmatannya.
Jadi tidak perlulah kecewa dengan kegagalan kempen BMF. Yakinilah kemampuan orang Melayu-Islam untuk bersaing di bidang ekonomi secara sihat dan bermaruah tanpa perlu menanam rasa benci dan curiga kepada orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan