Tindakan Kerajaan Pas Terengganu seperti Isreal roboh rumah rakyat Palestin

MALAYSIA DATELINE

AMANAH Terengganu menyifatkan kerajaan Pas negeri itu bertindak secara ganas dan terburu-buru meroboh rumah Haji Omar seperti Yahudi-Israel meroboh rumah rakyat Palestin.

Pengerusinya Raja Bahrin Shah mempersoalkan, apa keperluan kerajaan Pas bertindak sedemikian sedangkan pihak tuan rumah sudah membuat rayuan penangguhan dan dalam proses untuk memindahkan barang.

“Lima hari selepas ianya diroboh, tidak ada kerja yang bersegera pun dilaksanakan oleh kerajaan. Itulah realiti wajah baru Pas mengunakan kuasa dengan rakus ke atas rakyat biasa yang tertindas hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan Pas roboh rumah (gambar atas), tindakan Israel (gambar bawah)

Katanya, jika dahulu pimpinan Pas begitu agresif membela nasib rakyat dengan menjadi seperti harimau tidak bertaring dan berkuku.

Kini katanya, kelihatan lebih seperti kucing Siam yang comel diberi makan dengan kenyang kemudian dipelihara oleh tuannya, kerajaan negeri.

“Di tengah-tengah PKPB dan hujan lebat tengkujuh musim monsun, jentolak besar telah digunakan pihak berkuasa untuk merobohkan dapur serta bilik tidur rumah Omar yang juga seorang aktivis veteran Pas.

“Haji Omar yang sedang bersendirian dalam proses merobohkan rumah dan memindah barangnya dalam keadaan terhad kerja kontraktor masa PKPB dan hujan lebat yang melanda Terengganu apabila puluhan pegawai penguatkuasa dan kerajaan tiba dengan jentera untuk merobohkan struktur rumahnya.

“Di manakah budi bicara dan belas ihsan kerajaan Pas Terengganu? Senarionya kelihatan sama seperti tindakan zalim tidak berperikemanusiaan jentera berat Yahudi- Israel yang merobohkan rumah rakyat Palestin,” katanya.

Apa yang menyedihkan katanya, rakan-rakan seperjuangan Haji Omar dahulu yang kini menjadi ahli EXCO kerajaan negeri tidak berupaya membantu mendapatkan penangguhan seminggu yang diminta.

Tambahnya, Omarlah diantara pengerak utama dan aktivis Pas yang dahulu mengerahkan tenaga berdemonstrasi semasa Pas pembangkang dahulu.

“Yang menghairankan semasa Pas jadi pembangkang dan beberapa rumah di Kampung Banggol Donas, Terengganu di kepung oleh puluhan penguatkuasa termasuk pihak FRU untuk merobohkan rumah, Pas dan kumpulan pimpinan Pas yang sama telah berjaya beberapa kali dapat menghalang usaha tersebut.

“Yang menyedihkan kini apabila Pas mempunyai kuasa EXCO dan menjadi kerajaan, nasib sebuah rumah seorang aktivis tidak dibela seperti sepatutnya,” bidasnya.

Jika dahulu, katanya Pas mengutuk kerajaan Umno meroboh rumah rakyat secara kasar mengguna jentera berat.

Sebaliknya, kata beliau Pas tidak menggunakan kuasa yang dimiliki hari ini diperingkat nasional mahupun negeri untuk membela rakyat.

“Kuasa hanyalah untuk terus menguatkan pegangan keatas kerajaan dan projek kroni orang terdekat dengan pimpinannya.

“Lihatlah betapa ramai dalam kalangan mereka dilantik sebagai pengerusi syarikat GLC, hingga ada seorang individu bukan anak Terengganu yang memegang berbelas syarikat dengan gaji puluhan ribu.

“Masalah utama pimpinan Pas adalah mereka berpendapat duit adalah segala galanya dalam setiap isu. Isu sebenar perobohan rumah Hj. Omar dan rumah rumah lain bukan kerana bayaran kewangan,” kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan