“Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat”
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Ramai yang percaya bahawa sebabnya Anwar tidak dapat jadi Perdana Menteri ialah kerana saya menghalang.
Benar dahulu saya berpendapat bahawa kerana sebab tertentu dia hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tetapi apabila Najib menjadi kleptokrat, saya sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Najib. Saya tidak menentang cadangan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan mengganti saya apabila saya letak jawatan. Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco Anwar mendesak supaya saya letak jawatan.
Pada 21hb Februari, 2020, saya diberitahu oleh Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu bahawa pada malam itu Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mendesak supaya saya letak jawatan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri. Kononnya saya akan dipaksa lantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan segera.
Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Muhyiddin, Azmin dan Hamzah sudah rancang untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional untuk tubuh Kerajaan baru mengganti PH.
Azmin Ali pula telah sahkan bahawa apabila cadangan yang tersebut di atas dibuat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, beliau akan walk out.
Tetapi pada malam itu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, setelah berbincang dengan panjang lebar, bersetuju supaya saya diberi kuasa untuk letak jawatan bila-bila masa yang saya pilih. Ini bermakna Pakatan Harapan masih sokong saya. Pakatan jahat untuk tolak saya tidak menjadi kenyataan seperti yang didakwa oleh Muhyiddin dan konco-konconya. Saya berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar dari PH.
Pada 23hb Februari saya telah beritahu kepada Muhyiddin bahawa perancangannya untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan perlu ditangguh kerana PH masih sokong saya sebagai Perdana Menteri.
Apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas pertemuan saya dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, saya merayu supaya ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.
Pendek cerita Majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.
Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu juga bermakna Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan dan Kerajaan PH sudah jatuh.
Sepanjang malam itu saya memikir akan kedudukan saya. Kehilangan kepercayaan kepada saya bermakna saya tidak lagi boleh menjadi Pengerusi Bersatu. Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi Kerajaan, saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Pada malam itu Muhyiddin Yasin bersama pemimpin-pemimpin Umno dan Pas telah berada di Hotel Sheraton. Kesanggupan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu berada bersama dengan musuh Pakatan Harapan bermakna bahawa rancangan menubuh Kerajaan Perikatan Nasional sudah jadi kenyataan.
Saya buat keputusan untuk isytihar bahawa saya sudah letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Walaupun ada ura-ura bahawa saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana Menteri, saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah Umno akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan yang saya akan pimpin.
Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena mengena dengan cadangan Pakatan Harapan supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya letak jawatan. Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar dari Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah tidak lagi jadi Kerajaan dan saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Yang akan jadi Perdana Menteri ialah orang yang dapat majoriti apabila pengakuan oleh ahli Yang Berhormat dihadapan Yang di-Pertuan Agong diadakan.
Apabila pengakuan ini dibuat 92 ahli dari Keadilan, Amanah dan DAP menamakan Anwar sebagai pilihan mereka. PH sudah tolak saya sebagai Perdana Menteri.
Saya hanya dapat 66 ahli.
Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.
Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.
Setelah pencalonan Anwar gagal, Pakatan Harapan ingin kembali sokong saya sebagai calon Perdana Menteri. Anwar juga bersetuju tetapi dengan syarat dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Saya tidak bersetuju kerana ingin kekal kabinet lama.
Akhirnya Anwar bersetuju dan usaha dibuat untuk dapat jumlah yang cukup untuk Pakatan Harapan kembali jadi Kerajaan. Dengan sokongan dari ahli parti Sabah, jumlah meningkat kepada 114.
Malangnya Muhyiddin sudah berjaya mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk dia dilantik sebagai Perdana Menteri.
Tetapi usaha untuk tumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional diteruskan oleh Pakatan Harapan. Pihak saya dan penyokong saya bersetuju untuk menyertai usaha ini.
Tetapi Anwar tolak sama sekali penyertaan saya. Jika saya ditolak, penyokong saya tidak akan menyertai cadangan ini. Dan kita tidak akan dapat tiga orang ahli Dewan Rakyat (DR) untuk mencukupi bilangan.
Telah dicadangkan supaya saya akan pegang jawatan Perdana Menteri selama 6 bulan sebelum menyerah kepada Anwar. Amanah dan beberapa ahli DAP bersetuju.
Tetapi Anwar tolak. Anwar tidak mahu saya terlibat sama sekali. Tetapi jika saya tidak diberi tempat, penyokong saya tidak akan sokong cadangan Pakatan Harapan. Lagi pun agak sukar mencari tiga orang lagi untuk mendapat majoriti.
Pengakuan saya untuk serah jawatan kepada Anwar selepas 6 bulan tidak diterima atau dipercayai oleh Anwar.
Rancangan yang munasabah ialah apabila Dewan bersidang, jika Pakatan Harapan mempunyai cukup bilang, Muhyiddin boleh dikalahkan semasa belah bahagi dengan pembangkang mempunyai 114.
Apa yang berlaku ialah Muhyiddin masih dapat 112 dan tidak dapat dijatuhkan semasa perbahasan berkenaan perlucutan jawatan Yang di-Pertua Dewan. Ini bermakna Muhyiddin menang dan kekal sebagai PM. Anwar kalah dan tidak jadi PM.
Kemudian Anwar isytihar dia sudah dapat cukup bilang dan Muhyiddin sudah tidak jadi Perdana Menteri.
Saya dan kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan yang mencukupi.
Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi Perdana Menteri. Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati tidak benar. Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang.
Pada tahun 2008 pun, Anwar gagal. Apakah saya juga yang menghalang Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan