MUKHTAR SANI
Pergaduhan antara parti-parti dalam kerajaan nampaknya semakin rancak dengan istilah-istilah yang jarang kita dengar sebelum ini.
Istilah “main dua kolam” misalnya dalam hal ini, digunakan untuk mengambarkan gelagat sebuah parti yang memanipulasi dua atau mungkin lebih parti lain yang bertelagah untuk mengaut laba politik.
“Hat ni dia kawan, yang hat musuh orang tu pun dia kawan, akhirnya dia yang untung.” Begitulah pemerhati politik dari kalangan rakyat biasa yang tiada ijazah doktor falsafah (PhD) seperti Ahmad Maslan mengulas mengenai istilah ini.
Jika kita menyorot tajuk-tajuk berita di dada akhbar mahupun portal atas talian, tidak kurang istilah “main dua kolam” ini digunakan.
Ia dilengserkan bak peluru untuk menembak musuh yang dibenci. Antara yang sering dikaitkan dengan istilah ini adalah Pas.
“Selepas Pas berasmara dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN), dia berasmara pula dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN). Inilah kata orang main dua kolam,” begitu lebih kurang dialog yang dibualkan warganet.
Ternyata, rahsia Pas “main dua kolam” bukan lagi rahsia. Ia sudah jadi bahan perbualan hangat rakyat di seluruh ceruk negara, malah heboh di ruang maya.
Sikap Pas ini turut diulas pemimpin-pemimpin parti yang bertelagah. Antaranya Ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang mengingatkan parti bermodalkan Islam itu supaya tidak meneruskan agenda “main dua kolam”.
“Saya menyeru sekali lagi rakan-rakan kita dalam Pas, saya tidak nampak kita (Umno) dapat menerima sekiranya Pas bersama menyokong Bersatu dalam masa yang sama juga (menyokong) Umno.
“Kita pun biasa dengan ada satu ummah sahaja tidak ada dua, tiga ummah,” katanya seperti dilaporkan portal-portal pro Umno.
Tajuddin yang terkenal dengan sikapnya yang garang turut memberi amaran kepada Pas tentang dugaan nafsu ketika memiliki kuasa.
“Memang sekarang kita diduga dengan nafsu pelbagai imbuhan, pangkat atau nama atau harta, benda.
“Ingat! Jangan apabila keadaan sekarang, peluang terbuka dengan jawatan, pangkat, projek dan sebagainya kita lupa janji kepada pengikut kita untuk lihat ahli Umno, ahli Pas untuk membentuk satu perpaduan orang Islam,” katanya lagi.
Pas ‘berasmara’ dengan Bersatu iaitu parti yang tertubuh kerana sentimen bencikan Umno.
Begitulah Umno yang selama ini terkenal sekular menjulang slogan “perpaduan Islam”. Namun, Pas yang berangan-angan mahu jadi ‘king maker’ tidak mahu kalah dan mengeluarkan dalilnya sendiri.
Sehingga ulama Pas sendiri tidak segan silu mengaku kegiatan “main dua kolam” yang diamalkan partinya.
“Kami nak beritahu kamu, demi penyatuan dan persaudaraan ummat atas nama Islam, usahkan dua kolam, 100 kolam pun kami akan masuk,” demikian menurut ulama Pas Mokhtar Senik melalui Facebooknya.
Presiden Pas, Hadi Awang pula tidak ketinggalan berkata, mahu MN dan PN untuk bersama-sama untuk bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bagai air dan minyak
Hasrat Hadi Awang itu bagaimanapun kedengaran cetek kerana Pas bukanlah anak kecil dalam politik. Parti yang berusia lebih setengah abad itu tentu faham bahawa sukar bagi Umno menerima Bersatu yang merupakan serpihannya.
Apa akan jadi sekiranya ada yang mencadangkan supaya Pas dan AMANAH berdamai untuk menghadapi PRU, tentu aneh bunyinya bukan?
Malah, visi Umno dan Pas sendiri tentang negara Islam adalah bertentangan. Kedua-dua parti ini bolehlah diibaratkan seperti air dan minyak, tidak boleh menyatu.
Ini yang ditegaskan James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania seperti dipetik portal FMT.
“Pas memang melihat Umno sebagai ancaman kerana Umno tidak pernah bersetuju dengan negara Islam versi Pas. Umno mempunyai versi mereka sendiri tentang bentuk negara Islam yang diingini. Jadi dari segi ideologi mereka berbeza.
“Pas hanya mahu berada dalam kerajaan bagi membolehkannya mempromosi versi negara Islam mereka. Apabila tiba waktunya mereka mahu mengubah Malaysia mengikut negara Islam versi mereka,” katanya.
Pas juga jangan buat-buat lupa bahawa parti itu pernah ditendang keluar oleh Umno dari Barisan Nasional (BN) pada 1977 selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan di Kelantan.
Semuanya selepas Umno kembali kuat setelah mengalami kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum 1969.
Siapa boleh menyangka luka lama ini boleh pulih hanya dengan masing-masing mengangkat slogan yang sama?
Mengambil kira situasi ini, tentulah Pas akan memilih untuk bersama Bersatu yang lebih baru, berbanding Umno yang kini kian rapuh ekoran perbalahan dalaman.
Namun, yang pasti strategi main dua kolam yang diamalkan Pas kini memberi laba kepada parti itu dan merugikan Umno.
Umno mungkin perlu pulang ke pangkal jalan dan mengambil Pengerusi Lembaga Penasihatnya Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika ditanya sama ada Umno mampu bergerak tanpa Bersatu dan Pas dengan santai menjawab: “Mengapa tidak?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan