SITI NUR ZAWANI MISCON
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang tidak berakhlak apabila cuba mengaitkan keputusan parti itu bekerjasama dengan Umno, sebagai tindakan yang turut akan dilakukan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat jika masih hidup.
Walhal kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Almarhum Nik Aziz telah berulang kali menegaskan bahawa Pas tidak akan bekerjasama untuk kali kedua selepas siri pengkhianatan yang dilakukan Umno sekitar 1970an.
“Bagi saya ini tak berakhlak (kerana) kamu nak kaitkan almarhum Tok Guru Nik Aziz dengan sikap yang kamu tunjukkan sendiri. Sedangkan kamu sendiri tahu bahawa tok guru tak setuju.
“Yang dulu (bekerjasama) dilakukannya kerana negara dalam darurat 13 Mei 1969. Bukan isu Covid-19. Bukan isu kerajaan khianat yang tiada majoriti.
“(Kerjasama dahulu kerana) negara berada dalam keadaan rusuhan dan darurat. Maka dalam keadaan itu untuk nak jaga keamanan, (kerjasama) telah pun dipersetujui,” jelasnya dalam satu temubual di Jom Channel malam tadi.
Hadi dalam satu klip video baru-baru ini mendakwa, semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Almarhum Nik Aziz telah bersetuju menyertai kerajaan campuran bersama Umno dan membentuk Barisan Nasional (BN) kerana mahu menyelamatkan negara yang sedang huru-hara.
Menurutnya, keputusan sama diambil ketika ini kerana mempercayai bahawa Almarhum juga akan melakukan perkara yang sama untuk menyelamatkan negara dari wabak Covid-19.
Sementara itu Khalid, bekas AJK Pas Pusat itu mendakwa, Hadi cuba mengambil separuh sahaja dari kata-kata almarhum Nik Aziz kerana hakikatnya almarhum berkali menegaskan tidak akan melakukan lagi kerjasama tersebut.
“Kita semua tahu bahawa selepas (kerjasama) itu, alhamarhum tak setuju dan tak sanggup bekerjasama dengan Umno sekali lagi kerana pengalaman pahit di mana Pas telah dikhianati.
“Tok guru kata kita dah bertahun-tahun berjuang nak jatuhkan Umno dan tiba-tiba bila Umno dah nak jatuh, kita pula nak pergi tolong. Kenapa Hadi tak sebut benda itu.
“Hadi bawa hujah mengatakan tok guru pun setuju, ini memang tak ada akhlak. Bagi pandangan saya, Hadi tak mempunyai satu moraliti atau akhlak yang melayakkan dia untuk memimpin parti Islam,” katanya lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan