Umno bakal diharamkan?

Gesa JPPM siasat akaun bank rahsia: Pemimpin PPBM tidak perlu terburu-buru haram Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pimpinan Umno mengingatkan kepimpinan PPBM supaya tidak terburu-buru untuk mengharamkan Umno berikutan dakwaan parti Melayu itu mempunyai akaun bank rahsia.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, menggunakan alasan teknikal untuk mengharamkan Umno adalah perbuatan yang tidak “gentleman”.

“Saya yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tahu bidang kuasa kerja mereka.

“Sebaliknya PPBM hendaklah ‘melawan’ Umno dengan memenangi hati rakyat, bukan dengan berusaha menumbangkan parti yang ditubuhkan oleh rakyat ini sejak tahun 1946,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, JPPM digesa menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.

Gesaan itu dibuat oleh anggota Majlis Tertinggi PPBM Muhammad Faiz Naaman.

Dakwaan berhubung akaun bank rahsia itu dibuat oleh pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutan harta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Dalam pada itu, Razlan berkata, secara tersirat Faiz cuba “menunjuk pandai” dengan mengajar Setiausaha Agung, PPBM, Hamzah Zainudin mengenai cara bekerja sebenar sebagai menteri dalam negeri.

Katanya, mungkin ini salah satu sebab mengapa banyak parti yang cuba didaftarkan tidak diluluskan oleh JPPM.

“Rupa-rupanya ada campur tangan daripada pimpinan PPBM di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Razlan juga berkata, rakyat juga tahu bahawa PPBM kini menjadi “tempat mencuci dosa” Ahli Parlimen yang mempunyai rekod buruk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka yang mempunyai kes jenayah yang lain.

Katanya, kes berkaitan dadah hanya dilaporkan sekerat jalan sahaja di dada akhbar.

“Begitu juga dengan pertanyaan daripada rakyat mengenai ke mana hilangnya Tabung Harapan yang dipungut untuk membantu membayar hutang negara.

“Sehingga kini tidak diisytiharkan ke mana aliran wang tersebut jika benar digunakan untuk tujuan asal.

“Banyak lagi pertanyaan yang masih tidak terjawab, termasuk juga dengan kewujudan pejabat PPBM yang naik macam cendawan di seluruh negara. Dari mana datang duit banyak-banyak ini,” katanya.

Razlan juga mengingatkan pimpinan PPBM bahawa Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri pada masa ini atas “ehsan” Umno.

Katanya, menteri yang kini mendapat kecaman teruk daripada rakyat berhubung pelbagai kenyataan tidak mesra rakyat juga terdiri daripada pemimpim PPBM.

“Umno tidak terpalit dengan banyak keputusan yang tidak mesra rakyat.

“Rakyat akan menghukum anda kerana riak dan dasar tidak peduli rakyat,” katanya.

Razlan yang juga naib ketua Umno Bahagian Seputeh berkata, sekiranya PPBM tewas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), maka beliau tidak menolak kemungkinan kepimpinan parti itu juga juga akan didakwa oleh pihak lawan.

“Ketika itu, jangan tuduh Umno punya kerja pula kerana sehina-hina Umno, kami telah meluluskan penubuhan PPBM dan tidak pula mengharamkan parti ini.

“Banyak kes projek ‘direct award’ daripada kementerian di bawah PPBM menjadi siasatan SPRM. Jangan lupa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan