Kenapa enggan dakwa polis terlibat jenayah di mahkamah?

Malaysiakini 

Sebuah NGO hak asasi mempersoalkan dakwaan keengganan pihak polis mendakwa anggotanya yang terlibat dalam kes jenayah ke mahkamah.

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) merujuk laporan berita pada 3 Mac lalu mengenai 31 anggota polis yang disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian.

“Edict ingin mempersoalkan, mengapakah kesemua suspek yang juga merupakan anggota polis ini tidak dibawa ke mahkamah untuk dituduh seperti orang awam lain?

“Apakah terdapat layanan berbeza antara orang awam dan pegawai polis yang melakukan jenayah?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata Perkara 8 (1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa setiap individu adalah sama di sisi undang-undang dan begitu juga pegawai tinggi polis adalah tertakluk kepada prosedur undang-undang yang sama di mahkamah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya minggu lalu dilaporkan berkata kesemua 31 anggota berkenaan ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu keputusan mengenai hukuman mereka yang akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pegawai dan anggota yang terlibat berdepan tindakan dipecat, diturunkan pangkat dan pemotongan gaji yang akan diputuskan oleh SPP.

Sementara itu, Edict juga mengulangi seruan agar  Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentuk seperti yang diusulkan pada tahun 2005 tanpa sebarang pindaan setelah kerajaan menangguhkan pembentangannya di parlimen Ogos lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan