FMT Reporters
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi, berkata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum siasatan terhadap rakaman audio itu dapat dimulakan.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi, mempersoalkan adakah negara ini selamat selepas satu rakaman audio dikatakan mirip Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin tersebar sejak malam tadi.
Beliau bagaimanapun tidak mempersoalkan siapa yang merakam atau adakah rakaman audio berkenaan tulen, sebaliknya melontarkan pertanyaan apakah perbualan itu satu skandal.
“Kalau Menteri KDN pun kena rakam, maka apakah Malaysia negara selamat? Ia bukan soal siapa yang rakam dan apakah ia tulen tetapi soalnya apakah butiran perbualan itu satu skandal?,” katanya di Facebook.
Satu rakaman audio yang disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat itu tular sejak malam tadi dan dikatakan suara dalam rakaman berkenaan mirip Hamzah.
Antara yang dibualkan dalam rakaman itu mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak.
Puad berkata, Hamzah perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum siasatan terhadap rakaman audio itu dapat dimulakan.
“Maka siasatan mesti menyeluruh, tetapi siapakah yang berkuasa untuk arah siasatan segera dibuat. Menteri KDN atau IGP (Ketua Polis Negara)?
“Apakah dalam masa terdekat ini akan tercetus perang besar, dedah-mendedah dan konflik yang menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan PN (Perikatan Nasional)?,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan