SITI NUR ZAWANI MISCON
Tiada apa yang luar biasa pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada semalam, bahkan tiada keputusan besar mahupun dahsyat yang berlaku, kata Adun AMANAH.
Adun Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, hasil mesyuarat itu sama sahaja dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang hanya berkokok seperti ayam jantan seolah-olah berani menelan parti Bersatu.
“(Tapi mesyuarat) sekadar untuk tentukan tarikh pemilihan. Kalau begitulah hasil mesyuarat tak perlu berkokok kuat sebelum mesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sofi berkata, ramai menantikan keputusan yang menggemparkan antaranya tarikh untuk Umno menarik sokongan dari kerajaan PN dan tarikh menteri-menteri Umno untuk meletakkan jawatan.
Namun katanya, ia tidak jadi kenyataan kerana Umno pengecut dan pemimpinnya tidak berani keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Mereka takut hilang jawatan. Takut hilang keistimewaan sebagai menteri, gaji dan elaun. Takut hilang kuasa. Lebih baik mereka tunggu. Umno pun tak berani mengarahkan menteri mereka letak jawatan.
“Itulah Umno dan rupa sebenar Umno. Semua orang sudah kenal. Ramai orang sudah mual dan muak dengan perangai Umno,” katanya lagi.
Pada semalam, mesyuarat MKT Umno antara lain mendesak dan mengesyorkan kerajaan agar Parlimen dibenarkan bersidang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.
Mesyuarat juga mendesak melalui menteri-menteri Kabinet Umno untuk kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan dalam kandungan buku terbitan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Selain itu mereka juga akan meminta nasihat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan garis panduan menjalankan pemilihan parti tahun ini.
Sementara itu, Sofi berkata, Umno sememangnya tidak boleh diharap kerana mereka tidak akan berani membuat keputusan drastik dan tidak sanggup kehilangan apa yang mereka ada sekarang.
Menurutnya, Umno kini sedang mencongak untuk PRU15, dan jika mereka rasa tidak boleh bergerak berseorangan, Umno akan melakukan ‘u turn’.
“Tak percaya tengok nanti.
“Mahiaddin tahu mereka semua ‘tiada telur’. Pemimpin Umno itu penakut dan bacul. Hanya berani bercakap. Tetapi takut untuk mengotakan cakap besar mereka.
“Kalau ikut kepada cakap pada PAU dahulu, Mahiaddin sudah ditelan. Tetapi Mahiaddin senyum sahaja. Tidak rasa takut. Mahiaddin tahu semua itu hanya retorik panglima tahi minyak Umno,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan