‘Binatang politik’ itu benar wujud

TAUFEK YAHYA

Heboh dunia politik negara ini dengan ungkapan ‘binatang politik’. Ungkapan itu keluar dari mulut seorang pemimpin Bersatu di peringkat nasional ketika mengulas desakan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menggesa Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan.

Gesaan itu dibuat ekoran kegagalan Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu untuk akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen segera bersidang.

Dalam satu kenyataannya, Muhammad Faiz Na’aman yang menjawat ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, menyifatkan desakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana “tidak mengira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas”.

Apa yang gagal difahami pemimpin Bersatu itu adalah saranan agar Parlimen segera bersidang itu dibuat Raja-Raja Melayu lantaran prihatin dengan wabak Covid-19 yang melanda negara sekarang.

Apatah lagi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sendiri menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Jurucakap Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilapor berkata, titah Seri Paduka Baginda itu bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ini bukanlah titah pertama baginda berhubung keperluan Dewan Rakyat bersidang, malah titah yang sama dibuat beberapa bulan sebelum ini namun dipandang sepi kerajaan PN pimpinan Mahiaddin.

Lebih mengecewakan lagi apabila Speaker Dewan Rakyat turut berdalih bagi mengelak Dewan Rakyat bersidang meskipun Timbalan Speaker Dewan yang sama berpendapat sebaliknya.
 
Sebelum ini, Majlis Raja-Raja menggariskan tujuh perkara yang perlu diberi keutamaan pasca pertemuan di Istana Negara yang berlangsung 16 Jun lalu.

Selain Yang di-Pertuan Agong, sesi perbincangan itu turut dihadiri oleh Sultan-sultan, Raja dan Yang Dipertuan dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Kedah, Pahang dan Perlis.

Tujuh perkara itu dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan. Antara intipati saranan Raja-Raja Pemerintah itu adalah:

i) Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara- perkara lain

ii) Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

iii) Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

iv) Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

v) Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

vi) Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

vii) Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Sehubungan itu amat keterlaluan bagi aktivis muda Bersatu itu menggelarkan para pemimpin PH sebagai ‘binatang politik’ hanya kerana sokongan dan dukungan mereka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Alasan-alasan untuk terus menutup Parlimen juga telah dijawab pelbagai pihak memandangkan banyak isu berkaitan usaha memerangi wabak Covid-19 itu perlu dibincangkan para penggubal undang-undang negara.

Pun begitu, tidak dinafikan bahawa ‘binatang politik’ yang disebut pemimpin muda Bersatu itu memang wujud dalam dunia politik negara ini. Sikap rakus ‘binatang politik’ ini jugalah yang mencetuskan ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada pembentukan kerajaan baru tanpa mandat rakyat.

Episod itu berlaku ketika kerajaan PH berusaha keras memulihkan ekonomi negara, menangani hutang negara yang membengkak dan menstruktur semula projek-projek mega yang banyak merugikan kepentingan negara dan dana awam. Dan apa yang lebih mendukacitakan, langkah politik para ‘binatang politik’ ini dibuat ketika negara menghadapi ancaman wabak Covid-19.

Kerakusan ‘binatang politik’ ini juga menyebabkan beberapa kerajaan negeri bertukar tangan di tengah-tengah wabak Covid-19 mengganas. Di saat negara-negara serantau dan dunia berusaha keras membendung wabak Covid-19, ‘binatang politik’ di negara ini sibuk berebut kuasa hingga memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan. Dan kita melihat sendiri bagaimana jumlah rakyat yang positif Covid-19 melonjak tinggi selepas PRN itu berlangsung walaupun kelompok ‘binatang politik’ itu berjaya membentuk kerajaan.

‘Binatang politik’ juga gemar mengeksploitasi sentimen agama dan bangsa. Jika dahulu Perlembagaan dan undang-undang negara dianggap sebagai jahiliah dan sistem peninggalan penjajah; namun kini setelah berjaya menumpang kerajaan, gesaan dibuat untuk menghukum mana-mana pihak yang kononnya mengancam Perlembagaan dan undang-undang negara.

Lebih mengecewakan apabila ‘binatang politik’ ini secara berwewenang menggelarkan lawan politik mereka sebagai ‘membahayakan umat dan negara’ kerana kononnya bersekongkol dengan ‘musuh agama’.

Ironinya kelompok ‘binatang politik’ itu jugalah yang sanggup bersekutu dengan parti-parti yang menentang hukum jenayah Islam (khususnya hudud) hanya semata-mata kerana ingin berkuasa.

Malah, hudud dan sistem perundangan Islam yang dahulunya dilaung-laungkan kini tidak lagi diuar-uarkan kerana masing-masing sibuk dengan kuasa. Isu-isu yang dahulunya dianggap mengancam Islam terus berlaku dan bertambah buruk ketika mereka mentadbir negara.

Banyak lagi contoh kewujudan ‘binatang politik’ ini jika ingin diulas lanjut. Terpulang kepada rakyat untuk menilai yang mana batu dan yang mana permata. Di saat negara-negara serantau bergerak maju ke hadapan dalam segenap bidang, kita masih terperangkap dalam kemelut politik yang berpanjangan. Semuanya kerana ‘binatang politik’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan