PAS nafi Nik Abduh akan keluar PN bersama tujuh MP

Malaysiakini 

Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan dakwaan yang tular di media sosial sejak semalam yang mengaitkan anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz akan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, sejak semalam gambar tersebut disebarkan pemfitnah yang maha jahat.

"Saya jawab mudah saja, sebab apa tidak sebut 19 MP (ahli parlimen) PAS keluar, tidak sokong PN, baru rare.

"Tujuan fitnah ini tersebar untuk (wujudkan) pecah belah dalam parti PAS dan PN, untuk menimbul keresahan rakyat, bahawa kerajaan PN akan jatuh, untuk alih isu masalah dalaman musuh PN," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu tular sekeping gambar di media sosial yang bertulis ‘Saya ikut jejak Umno keluar kerajaan PN, PAS, PPBM (Bersatu), Perikatan Nasional. Insya-Allah bersama tujuh ahli Parlimen PAS’.

Sementara itu Idris berkata, modus operandi musuh adalah dengan mensasarkan setiap pimpinan untuk difitnah.

Katanya, yang penting biar fitnah ini ditularkan dahulu, mereka yakin ada yang percaya walau pun setelah dinafikan.

"Mereka hendak supaya pimpinan sibuk menjawab dan tak sempat hendak menerangkan mengenai perjalanan parti.

"Mereka hendak menimbul keresahan di kalangan ahli dan supaya kejayaan bagi vaksin pada rakyat ditenggelamkan," katanya.

Dalam pada itu, Nik Abduh dalam satu hantaran di Facebooknya mengingatkan supaya tidak bermain dengan fitnah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan