ARIF ATAN
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa masih menanti penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung pemadaman fatwa ‘Amanat Haji Abdul Hadi’ di laman rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Naib Presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH) berkenaan berkata, pemadaman amanat yang diwartakan pada 2002 sebagai bercanggah dari segi ajaran Islam itu patut mengundang kebimbangan semua pihak kerana telah menghina institusi fatwa.
“Yang perlu kita bimbang, bagaimana Jakim boleh tunduk kepada kehendak golongan yang dulu dikatakan sesat tetapi hari ini buang fatwa hanya kerana hari ini (Pas) sudah jadi kerajaan.
“Saya masih tunggu jawapan jawapan dari Jakim. Timbalan Menteri (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) pun tak jawab.
“Menteri Agama yang pakai baju ungu sokong RUU355, pun tidak jawab,” katanya dalam bual bicara secara langsung di Facebook menerusi saluran NextStep malam ini.
Turut menjadi panel dalam program selama dua jam itu ialah penceramah Ustaz Ali Muda yang juga antara terlibat menyusun atur dasar Rahmatan Lil Alamin ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Untuk rekod, tular tangkap layar ciapan pengguna Twitter sejak 21 Jun lalu yang mempersoalkan tindakan Jakim yang dipercayai memadam fatwa ‘Amanat Haji Abdul Hadi’.
Amanat yang terkandung dalam ceramah umum yang disampaikan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang itu berlaku di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Menurut Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu, hal yang paling menggusarkan apabila institusi fatwa dipermainkan oleh sebuah parti yang selama ini mendakwa menghormati fatwa.
“Tahun 2002 difatwakan (‘Amanat Haji Abdul Hadi’) sesat tiba-tiba tahun 2021 selepas Pas jadi kerajaan, hilang. Ini satu penghinaan kepada institusi fatwa. Yang ini, kita patut bimbang.
“Bila kita mempertikaikan mengapa fatwa itu dikeluarkan dari laman web Jakim, tiba-tiba keluar pula fatwa 2.0, menyokong musuh Islam sesat serta dulu bersama PH, serik tidak boleh dua kali dipatuk ular,” katanya lagi dalam program anjuran bersama Akademi Nunji itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan