KUALA LUMPUR: Pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan pada Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kecuali bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas peperiksaan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"(Untuk) Pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa PPN.
Katanya dalam fasa dua, operasi beberapa lagi aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan serta sektor perdagangan dan pengedaran akan dibenarkan, dengan sektor pembuatan melibatkan automotif (kenderaan dan komponen), seramik, kilang perabot bagi tujuan eksport, getah, besi dan keluli serta simen.
"Sektor perdagangan dan pengedaran pula membabitkan kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)," katanya sambil menjelaskan kebenaran beroperasi kedua-dua sektor adalah dari 8 pagi hingga 8 malam.
Katanya operasi restoran, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk masih beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.
"Dalam fasa kedua, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging. Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka," katanya.
Katanya semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan dalam fasa kedua PPN.
Menjelaskan mengenai SOP fasa tiga pula, Ismail Sabri berkata semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif seperti spa, kecantikan dan kesihatan kuku, pub dan kelab malam.
Beliau berkata pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang fasa tiga manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Katanya makan di restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal bagi tempoh tersebut dan bagi pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing, serta kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada tiga orang termasuk pemandu.
"Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP semasa. Salon kecantikan turut dibenarkan beroperasi ketika di fasa tiga dengan mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembukaan sektor pendidikan termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran dan institusi-institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta agensi lain tertakluk kepada takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta penilaian risiko semasa KKM.
"Aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa fasa tiga. Bagaimanapun, kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang pada satu-satu masa.
"Aktiviti pelancongan dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja. Pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP yang ketat. Industri kreatif juga dibenarkan di fasa tiga, sebagai contoh acara langsung tanpa penonton," katanya.
Fasa empat pula katanya dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID-19 rendah, sistem kesihatan awam pada tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti kelompok.
" Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya, tertakluk kepada SOP sedia ada yang telah ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan