FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menyeru agar Umno membuat pendirian tetap berhubung masa depannya dalam kerajaan.
Awang Azman Pawi, daripada Universiti Malaya, berkata kepada FMT, reputasi parti itu berisiko menjadi lebih rosak jika ia terus goyah sama ada mahu kekal dengan pentadbiran Muhyiddin Yassin atau meninggalkannya.
Jika ingin menarik diri, katanya, Umno perlu melakukannya dengan sebab yang tidak mewujudkan tanggapan bahawa ia hanya ingin merebut kuasa.
“Ini bermaksud perlu ada strategi yang jelas berkenaan apa yang ingin dicapainya dengan menarik diri. Ia tidak boleh dilihat sebagai percubaan untuk mengganggu kestabilan kerajaan,” kata Awang Azman.
Sebuah tinjauan dibuat portal berita dalam talian baru-baru ini mendapati 82% daripada kira-kira 76,000 responden bersetuju menyokong tindakan Umno meninggalkan kerajaan.
Tinjauan ini dibuat pada ketika pemimpin Umno sedang berbincang mengenai perancangan parti berkenaan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan sebelum 1 Ogos.
Awang Azman percaya sekarang adalah masa terbaik untuk Umno menarik diri daripada kerajaan kerana sedang ada momentum baginya.
Tambahan, katanya, kedudukan parti itu mengenai isu-isu semasa selari depan sentimen popular yang dapat dilihat melalui kempen Bendera Putih dan Bendera Hitam, yang katanya menunjukkan rakyat tidak puas hati dan berasa tertekan.
“Namun perlu ditegaskan bahawa sebarang langkah Umno ke arah membentuk kerajaan baharu perlu disertai dengan perancangan yang kukuh dan jelas bagaimana untuk mengatasi prestasi PN (Perikatan Nasional),” katanya.
Bagaimanapun, Jeniri Amir, seorang felo Majlis Profesor Negara, berkata tindakan Umno meninggalkan kerajaan pada masa ini mungkin tidak akan menguntungkannya kerana kemarahan rakyat terhadap kerajaan kini turut ditujukan kepada pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kerajaan.
Katanya, pemimpin Umno memegang portfolio penting seperti kesihatan, pertahanan, serta vaksinasi, dan parti itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah negara dengan meninggalkan kerajaan.
Apa yang penting sekarang, tambahnya, adalah agar Umno menyokong kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat, dan supaya kepimpinan tertinggi PN terbuka menerima cadangan daripada luar kerajaan.
“Mereka harus lebih peka terhadap rakyat jelata. Fokus sepatutnya diberikan kepada menangani krisis kesihatan awam dan juga krisis ekonomi yang sedang kita hadapi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan