Isu nikah dalam talian: Timbalan Menteri Pas ambil tindakan mahkamah

FAZLI RADZI

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dengan isu dakwaan pernikahannya.

Ahli Parlimen Pas Tumpat berusia 61 tahun itu berkata, penyebaran dakwaan itu dalam media sosial seolah-olah mahu mengaibkan maruah diri dan keluarganya.

“Saya dapat nasihat daripada peguam dilantik dan akan ambil tindakan terhadap pihak terlibat, jadi saya dinasihatkan untuk tidak mengulas lanjut perkara ini,” dipetik Utusan Online.

Setiausaha Pas Kelantan yang lahir di Pasir Mas itu bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan dakwaan dirinya menambah isteri lagi ketika rakyat bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baru-baru ini, tular rakaman video majlis nikah secara dalam talian dan salinan surat nikah dikeluarkan Yang Dipertuan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat yang dikaitkan dengan seorang Timbalan Menteri di negara ini.

Bagaimanapun, pihak Majlis Agama Islam di selatan Thailand itu kemudiannya dilapor tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.

Wakil rakyat tersebut juga didakwa menyerahkan mas kahwin sebanyak RM11,111 kepada isteri mudanya berusia 20-an yang dikatakan berasal dari Selangor.

Sehubungan itu, Che Abdullah memohon supaya dia diberikan ruang untuk menyelesaikan isu dakwaan pernikahannya itu dan meminta supaya semua pihak menghormati privasi keluarganya.

“Sebagaimana yang isu yang tular, saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini menyinggung mana-mana pihak.

“Saya mohon semua pihak agar memberi keadilan dan ruang untuk saya selesaikan isu ini dengan baik kerana ia sewajarnya ditangani secara peribadi dan bukan untuk dipertonton kepada khalayak ramai,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan