Elak ditangkap polis, lelaki patah pinggang terjun tingkat 3

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur patah pinggang selepas nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Taman Sri Janggus Alma, Bukit Mertajam di Pulau Pinang, semalam kerana mahu melarikan diri daripada ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, polis pergi ke kawasan perumahan berkenaan pada 1.30 tengah hari selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti penagihan dadah.

Beliau berkata, anggota yang ditugaskan ke lokasi menemui lelaki berusia 26 tahun itu sedang menuruni tangga dari tingkat satu bangunan berkenaan.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri menaiki tangga ke tingkat tiga bangunan terbabit selepas tidak memberikan kerjasama.

“Anggota mengejar dan ternampak dia terjun dari tingkat tiga, sebelum terkena piring satelit televisyen di tingkat dua dan terjatuh di atas lantai tingkat bawah bangunan,” kata beliau menurut laporan Harian Metro.

Shafee berkata, hasil pemeriksaan awal ke atas suspek menemui empat plastik kecil mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 5.3 gram bernilai RM530 dalam poket seluarnya.

“Dadah dirampas dan suspek dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan sebelum disahkan suspek mengalami patah pinggang,” katanya.

Tambah beliau, suspek yang memiliki masing-masing enam rekod kesalahan berkait dadah dan akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan