Muhyiddin dijangka bawa nama Hishammuddin jika ‘terdesak’ menghadap Agong

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkemungkinan akan menyerahkan nama pemimpin Umno, Hishammuddin Hussein sebagai pengganti beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya keadaan benar-benar mendesak, kata penganalisis politik veteran.

Bercakap kepada FMT, Ahmad Atory Hussain berpendapat pemilihan menteri luar itu sangat tepat kerana beliau mesra dan “dekat” dengan kepimpinan Bersatu selain mampu menjadi “jambatan pengaman” antara kedua-dua parti.

Katanya, bagaimanapun Azmin Ali yang dikatakan orang paling kanan dan menteri kepercayaan Muhyiddin dijangka tidak berada dalam senarai pilihan kerana sebahagian besar pemimpin Umno “alergik” terhadap Azmin, malah beliau juga tidak mempunyai sokongan kuat dalam kalangan majoriti Ahli Parlimen.

“Muhyiddin akan memilih ‘jalan keluar’ itu sekiranya dia merasakan rakyat sudah bosan dan tidak mahukannya lagi. Pemilihan Hishammuddin juga dibuat kerana Bersatu sedar Umno mempunyai majoriti lebih banyak daripada parti lain di Parlimen,” katanya.

Ahmad juga bersetuju gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Hishammuddin adalah bagi merealisasikan “impian” Muhyiddin.

Beliau berkata, jika berlaku peralihan kuasa, walaupun Bersatu tidak lagi memegang jawatan nombor satu pentadbiran Putrajaya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tetap berjalan seperti biasa, malah hubungan Umno-PN akan bertambah kukuh berbanding sikap dingin yang ditonjolkan oleh kedua-dua pihak ketika ini.

“Umno susah untuk berdiri sendiri walaupun ada tiga juta ahli kerana dipercayai ahli akar umbi sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan sudah memilih ‘payung’ lain,” katanya.

Sementara itu, pakar geostrategis Azmi Hassan berpendapat tindakan mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai tindakan terdesak parti lawan kerana hakikatnya tiada seorang pun pemimpin politik mampu menghasilkan sebuah kerajaan stabil ketika negara berada di bawah tekanan krisis kesihatan.

“Jika Muhyiddin berundur sekali pun, kita akan lihat situasi yang sama berlaku kerana pandemik Covid-19 adalah isu sukar yang tidak mampu ditangani sebuah kerajaan dengan sumber yang terhad,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman Yassin berpendapat suara sumbang di mana rakyat sudah muak dengan kerajaan PN ada benarnya.

“Ini ditunjukkan dengan pelbagai kempen di media sosial dengan pelbagai jolokan atau gelaran kurang baik diberikan kepada kerajaan Muhyiddin,” kata pemerhati politik veteran itu.

Namun, beliau menyifatkannya sebagai perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap pentadbiran ketika rakyat berasa tidak puas hati.

Justeru, beliau berharap Muhyiddin tidak tunduk kepada desakan berundur oleh sesetengah pihak sebaliknya menggunakan kebijaksanaan Jemaah Menteri yang dimilikinya untuk mengendurkan ketegangan yang berlaku.

Dalam sidang media secara maya semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendesak Muhyiddin berundur segera sebagai tanggungjawab terhadap kelemahan tadbir urus pandemik Covid-19.

Gesaan itu menyusul selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan sekali lagi supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan