Netizen bertambah berang, saran Turki ‘simpan’ saja Azmin

SITI NUR ZAWANI MISCON

Selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diserang di Facebook Menteri Austria Margarete Schramböck, netizen sekali lagi melepaskan geram kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu di Facebook Menteri Turki, Dr Mehmet Mus.

Menerusi hantaran Facebook Mehmet, Menteri Perdagangan Turki itu berkongsi gambarnya bersama Azmin dalam pertemuan menandatangani Deklarasi Bersama mengenai Perluasan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua kerajaan.

Dalam hantaran tersebut, netizen mengecam Azmin sebagai gagal mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam negara.

Mereka juga menasihati menteri Turki itu untuk berhati-hati bimbang Azmin menceroboh negara itu melalui pintu belakang seperti yang terjadi di Malaysia.

“Tuan, Azmin Ali dan keluarganya sekarang adalah salah seorang yang paling dibenci di Malaysia.

“Jika anda tidak percaya, boleh lihat di Twitter dan anda akan menjumpainya,” tulis seorang pengguna Facebook.

“Dr Mehmet Mus, untuk maklumat anda dia (Azmin) adalah antara menteri yang paling tak berguna di Malaysia. Kes Covid-19 meningkat sangat tinggi kerana kegagalannya.

“Kami juga tak kisah jika anda mahu mengambilnya sebagai warganegara Turki. Dan sebagai pertukaran, boleh berikan kami unta,” seloroh pengguna lain pula.

Malah, ada yang secara sinis menyarankan agar pemimpin Turki itu ‘menyimpan’ sahaja Azmin di negara mereka jika mahu.

“Menteri paling teruk yang kami ada. Kes Covid-19 meningkat, tapi menteri ini tak tutup sektor yang menyebabkan kes melonjak. Tolong simpan dia kalau anda mahu,” tulis yang lain.

Rata-rata pengguna mengecam kegagalan Azmin selepas negara merekodkan kes tertinggi semalam sehingga 11,079 kes Covid-19 biarpun negara sedang berhadapan dengan darurat, perintah berkurung dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam masa sama, di Facebook Azmin juga, hantarannya tentang pertemuan bersama menteri Turki itu turut dihujani deretan kecaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan