‘Rakyat hidup menderita, kerajaan bodoh hidup gila kuasa’, manifestasi kekecewaan muncul di beberapa bandar

FMT Reporters

Kain rentang mengutuk kerajaan digantung di Chukai, Kemaman, Terengganu.

PETALING JAYA: Kain rentang mengutuk kerajaan, menteri dan ahli politik digantung di beberapa kawasan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini.

Seorang pengguna Twitter @HermyRahim memuat naik gambar kain yang digantung di kawasan sekitar Pahang dan Terengganu.

Kain rentang itu antaranya digantung atas jejantas sekitar Beserah, Air Puteh, Paya Besar di Kuantan, selain di Chukai, Kemaman, Terengganu, menyuarakan penderitaan dihadapi rakyat menempuh situasi sukar akibat pandemik.

Antaranya tertulis “Rakyat hidup menderita, kerajaan bodoh hidup gila kuasa”.

Patung tertulis ‘kerajaan pembunuh’ ditemui di jejambat di Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, Melaka.

Selain itu, turut kelihatan slogan “Politikus yang baik adalah politikus yang tidak dilahirkan”. Manakala satu lagi kain rentang digantung berbunyi “Menteri gila, rakyat derita, sampai bila natang?”, ditemui di Chukai.

Ahad lalu, patung manusia bertulis “kerajaan pembunuh” ditemui di satu jejambat di Melaka, sebelum polis mengalihkannya.

Patung itu ditemui orang awam di jejambat di Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, berdekatan bangunan pentadbiran kerajaan, Seri Negeri.

Kain rentang ‘Rakyat hidup menderita, kerajaan bodoh hidup gila kuasa’ ditemui di Paya Besar, Kuantan, Pahang.

Polis Melaka juga membuka siasatan susulan kejadian itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 11,079 kes baharu Covid-19, angka tertinggi direkodkan sekaligus mencetuskan kemarahan pengguna media sosial dengan berkongsi ciapan “WTF11” sehingga trending di Twitter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan