Tarik diri: Umno akan kehilangan sengatnya jika terus bermain-main

DR SHAHNOR BASRI

Keadaan politik agak bercelaru dan tak keruan ketika ini. Awal pagi semalam (8 Julai 2021) penulis berseloroh denagn mantan Yang Di Pertua YADIM bahawa seseorang sedang menelaah kitab mencari dalil untuk mempastikan Perdana Menteri Tan Sri Mahaiddin Yassin tidak meletak jawatan dan tidak gugur dari jawatan yang disandang.

Secara berseloroh mantan YDP YADIM pula membalas seloroh penulis dengan menyatakan ‘orang itu’ tidak akan terjumpa dalil di dalam kitab untuk mengabsahkan dalilnya! Saya hanya tersenyum dengan jawapan spontan beliau. Belum pun habis tawa saya telah keluar kenyataan bahawa “Pas mempertegaskan sokongan sepenuhnya kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, termasuklah sokongan tidak berbelah bahagi sekelian YB Parlimen Pas”.

Mungkin dalil telah terjumpa, seperti mana dalil-dalil keterlibatan menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dalam PRU 14, dalil pada satu ketika dahulu “wajib sokong DAP, haram sokong Umno sehingga kiamat” dan pelbagai ‘fatwa kontemporari’ di keluarkan demi kepentingan politik.

Baru-baru ini berfatwa pula bahawa kerajaan PH tumbang secara demokratik. Apakah maksud tumbang secara demokratik? Ketika rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Perak berlaku, tindakan rampasan kuasa BN pernah diselar sebagai perbuatan ‘BIADAP’.

Banyak sungguh ‘fatwa kontemporari’ yang boleh dicatatkan untuk kajian para sarjana. Namun ia hanya bertujuan menyokong keabsahan dalil demi menghalalkan keputusan atau tindakan organisasi bukan demi ummah atau rakyat!

Diawal pagi 8 Julai 2021, Datuk Seri Zahid Hamidi (DSZH) selaku Presiden Umno telah bersiaran secara ‘live’ untuk menjelaskan keputusan MT Umno yang pada asalnya mendokong TSMY berdasarkan dua panduan; aspirasi rakyat benar-benar direalisasikan dan kedua harus menangani kelembapan ekonomi serta melakarkan

pelan tindakan efektif menangani pandemik COVID-19.

DSZH telah dengan tuntas menggariskan tujuh KEGAGALAN KERAJAAN dan merumuskan keputusan MT

Umno menarik balik sokongan terhadap TSMY selaku Perdana Menteri dan sokongan tersebut diTAMATkan serta merta. Walaubagaimana pun penulis tidak terjumpa satu patah perkataan pun yang menyatakan penarikan anggota kabinet yang mewakili Umno didalam kabinet TSMY dan PN.

Bagaimana pula kedudukan kerusi ahli parlimen Umno dalam Dewan Rakyat sekiranya perkara ini berlarutan hingga ke persidangan parlimen mulai 26 Julai ni? Sebenarnya makin banyak persoalan boleh dibangkitkan daripada penyelesaian.

Secara konvensyen apabila satu parti yang bergabung membentuk satu pakatan yang membentuk kerajaan menarik sokongan, maka keseluruhan anggota parti tersebut yang menganggotai atau tidak kabinet secara MORALnya juga menarik sama sokongan terhadap PM dan kerajaan.

Maka, jumlah majoriti mengikut amalan demokrasi perlu dikira semula, sekiranya tidak cukup bilang untuk majoriti mudah maka kerajaan secara automatik terbubar. Bermain dengan masa amat membimbangkan dan mungkin proses ‘jual-beli’ akan mula berlaku!

Penulis sangat musykil terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Arif Peguam Negara bahawa PM dan kabinet masih boleh menjalankan fungsi eksekutif kerana pada pandangannya terbubar atau tidak sesebuah kerajaan bukan hanya disebabkan kenyataan suatu parti kompenan. Bagi beliau bahawa kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas menunjukkan TSMY tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Matematik apakah yang digunakan?

Fakta sangat jelas, berapa bilangan ahli parlimen Umno yang menganggotai kerajaan PN, apabila parti mereka menamatkan sokongan, maka secara automatik jumlah bilang anggota parlimen kerajaan akan berkurangan. Matematik mudah (simple mathematics). Penulis bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Salahuddin Ayub mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa YA Peguam Negara hanya merujuk satu sahaja kitab Undang-undang tanpa merujuk apa yang telah berlaku duluan dalam negara dan kes-kes duluan dalam negara-negara Commonwealth! Jadi bijaksanalah.

Pada masa yang sama, setelah Presiden parti mengeluarkan kenyataan keputusan badan eksekutif parti iaitu MT yang mendokong keputusan-keputusan terdahulu dan juga mandat Persidangan Agong Umno (PAU) 2020, sewajibnya semua ahli parlimen Umno menarik diri dari mengaggotai blok kerajaan. Namun, kelihatan

banyak dolak dalik terutama dikalangan yang sedang berenak-enakan dikerusi empok kementerian dan GLC.

Walaubagaimanapun penulis percaya majoriti ahli Parlimen Umno yang mendokong perjuangan parti, ikhlas dalam perjuangan dan memperjuangkan aspirasi rakyat akan mengundur diri sepantas kilat KECUALI beberapa kerat yang sedang dibuai nikmat kedudukan dan pangkat.

Yang tidak mengundur diri harus dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin dan digugurkan serta-merta walaupun mereka adalah anggota kanan kabinet ataupun berada dihiraki tertinggi parti. Jika ini tidak berlaku maka Umno akan makin lama hilang sengat dan jika tidak mahu berubah dari kebongkakan maka akan dilupakan dipersada politik negara. Bibit-bibit ini telah mula kelihatan!

Bagi TSMY pula, adakah beliau masih mahu menongkat langit yang semakin hendak menghempap dirinya. Dengan pelan pemulihan yang tidak kemas, tidak berstrategi dan dengan keputusan mengenai SOP yang ‘flip-flop’ tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat. Dengan tidak berpandukan data-raya yang tepat

dan komprehensif, proses vaksinasi yang tidak terstrategi dan perlahan serta strategi membawa keluar negara dari pandemik yang sangat dangkal, ia adalah kegagalan besar.

Ribuan nyawa akan terkorban, ekonomi akan makin terjejas, pendidikan anak- anak akan terjejas teruk, aktiviti peruncitan dan perniagaan akan layu, rakyat akan ramai lagi hilang pekerjaan, SME dan SMI akan terjejas, norma kehidupan akan kacau, ramai lagi akan membunuh diri akibat tekanan dan pelabor akan makin lama

menjarakan diri dari negara ini.

Apa yang di jelaskan oleh Presiden Umno mengenai kegagalan kerajaan sebenarnya adalah realiti dan realiti ini akan menjadi barah yang terus merebak jika TSMY dan PN masih bongkak untuk meneruskan kuasa. Kuasa

memang suatu kenikmatan namun jika ia tidak dikawal maka kuasa akan mengakibatkan rakyat merana dan banyak nyawa lagi terkorban.

Pada harini juga (8 Julai) parti PEJUANG pimpinan Tun Mahathir secara kebetulan pula lulus pendaftarannya. Adakah ia secara kebetulan atau ada sesuatu tersirat untuk mencipta satu lagi kemelut politik? Penulis berharap supaya parti-parti politik arus perdana tidak perlu berasa sukacita melampau dengan kelulusan PEJUANG, hanya ucapkan tahniah sudah memadai buat masa ini. Kita tidak mahu lanskap politik ini bertambah caca-marba dan hancur, sepertimana hancurnya Pakatan Harapan.

Akhirnya, negara perlu bergerak kehadapan. Pimpinan politik harus bergerak beringinan untuk memacu negara kearah kestabilan dan membina semula politik pasca baharu yang lebih bersinar dan membawa negara ini keluar dari pandemik dan hidup normal. Jika ada insan yang mengaku hanya dia sahaja yang boleh menyelesaikan semua ketenatan yang menyelubungi rakyat negara ini, maka dia bukanlah wali besar yang mempunyai kuasa ajaib.

Semua pihak harus berkerjasama, menjalin usahasama rentas parti dan kaum. Apa jua bentuk kerajaannya, samada minority government ataupun kerajaan perpaduan, ia harus kerajaan untuk rakyat dan demi rakyat tetapi sudah pastinya bukan termasuk PN yang merupakan Kerajaan Gagal dengan memetik tujuh (7) kegagalan yang di persembahkan oleh YB Presiden Umno.

Dan kegagalan paling besar adalah dengan bermain dengan masa dan putar- belit perkataan meremahkan titah dan dekri SPB YDPA dan Raja-Raja Pemerintah supaya parlimen bersidang dan membahas perkara berkaitan Ordinan-Ordinan Darurat dan Strategi Pemulihan Negara Pasca Covid-19.

————-

Penulis adalah felo di Akademi Sains Islam yang berpusat di Jordan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan