FMT Reporters
PETALING JAYA: Adakah Umno merancang untuk melakukan “rampas kuasa secara senyap” dengan menguasai kerajaan interim, melalui Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik sebagai timbalan perdana menteri, soal Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pasti didesak meletakkan jawatan “sehari dua ini”, dan Ismail akan menjadi pemangku perdana menteri, kemungkinan dilantik sebagai PM interim.
Manakala Hishammuddin Hussein yang dilantik sebagai menteri kanan pada Rabu lalu akan menjadi timbalan perdana menteri.
“Majoriti Ahli Parlimen Umno akan kekal menyokong PN sehingga bubarnya Parlimen. Kerajaan tak tumbang tetapi Umno dominan,” katanya di Facebook.
Pelantikan Ismail oleh Muhyiddin diumumkan secara tiba-tiba pada Rabu, namun Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini memutuskan untuk menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri.
Pejabat Perdana Menteri berharap pelantikan Ismail itu akan “memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan”.
Pengumuman itu muncul di kala Umno diuar-uarkan sedang membincangkan cadangan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan.
Melewati tengah malam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan Umno menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin dan mahu beliau meletak jawatan.
Umno menyenaraikan tujuh sebab yang membawa kepada penamatan sokongannya, dan menggesa pelantikan seorang perdana menteri interim untuk menangani situasi Covid-19 dan membuka laluan kepada PRU15 bagi sama sekali menyelesaikan isu keabsahan kerajaan.
Keesokannya, Setiausaha Agung Ahmad Maslan memaklumkan Zahid mengucapkan tahniah kepada Ismail atas pelantikannya.
Mujahid hari ini berkata menjelang PRU15, Umno akan berada dalam posisi yang lebih baik dan yakin untuk menang bergaya.
“Jika benar ianya helah Umno, Pakatan Harapan harus cekal dan kekal sebagai blok terkuat dengan 89 Ahli Parlimennya terus konsisten dengan prinsip perjuangan PH,” katanya.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) turut mendesak Muhyiddin berundur selepas Umno memutuskan untuk tidak lagi menyokong beliau.
Umno dengan 36 Ahli Parlimen adalah blok penyokong terbesar Muhyiddin di Dewan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan