PH kukuhkan gabungan, elak jadi alat perebutan kuasa

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan kerjasama di antara parti komponen gabungan itu akan diperkukuh dengan Anwar Ibrahim kekal selaku pengerusinya.

Kenyataan itu dibuat ketika muncul suara-suara di peringkat akar umbi yang mempersoalkan keberkesanan kepemimpinan PH ekoran kegagalan mendapatkan semula kerajaan yang dirampas melalui Langkah Sheraton tahun lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden PH hari ini, gabungan itu berkata segala persiapan menuju PRU ke-15 akan dipergiat termasuk melaksanakan perbincangan pembahagian kerusi, menyiapkan manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat sekali lagi.

Pada masa yang sama, kata mereka, kekuatan blok pembangkang akan digembleng dan PH terbuka untuk berunding serta bekerjasama dengan parti lain melalui konsep ‘khemah besar’ berdasarkan agenda reformasi dan kepentingan rakyat.

Majlis Presiden PH juga mengakui penggemblengan tersebut adalah jauh lebih penting berbanding menjadi alat pihak tertentu yang mahukan kuasa.

"Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi 'khemah besar’ dalam kalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa serta jawatan yang hanya merugikan negara," katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Anwar Ibrahi, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Baru-baru ini pembangkang cuba mendapatkan semula kerajaan pusat selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disingkirkan melalui langkah dibuat Umno.

Bagaimanapun cubaan itu gagal apabila Anwar hanya mendapat 105 sokongan daripada ahli parlimen pembangkang serta bebas. Ia berlaku ketika wujud hubungan di antara Anwar dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelumnya.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob akhirnya mendapat sokongan penuh semua ahli parlimen BN, dan dengan dukungan Perikatan Nasional (PN) berjata membentuk sokongan majoriti.

Ia membawa Umno kembali menguasai kerajaan di sebalik kekalahan mereka dalam PRU ke-14 pada 2018 lalu serta jumlah kerusi Dewan Rakyat yang relatif lebih rendah berbanding PN.

Ekoran itu ada suara dari akar umbi yang mencadangkan PH kembali berunding bagi mencari punca kegagalan berkenaan dan menyusun semula strategi mereka.

Menurut Majlis Presiden PH ahli parlimen mereka akan meneruskan tugas sebagai pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, sesuai dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa eksekutif terus dilaksana.

"Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi segera diatasi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan