Peluang untuk menerapkan minda endemik

NIK MOHAMAD HASYUDEEN

Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan unjuran bilangan kes Covid-19 berdasarkan kadar jangkitan 1.2 dan juga 1.6. Ianya lebih cepat naik kerana varian Omicron memang sifatnya mudah merebak. Kadar positiviti pun sudah melebihi 5% memggambarkan lebih banyak kes di luar sana yang belum dikesan. Ada kenaikan pada kadar kemasukan ke hospital.

Jika kita bandingkan dengan kes di Amerika Syarikat, itulah yang akan kita hadapi di sini. Bilangan kes tidak meningkatkan kematian dengan mendadak. Jadi tak ada isu Kementerian Kesihatan (KK) nak naikkan bilangan kes supaya kita tidak beraya di kampung. Lihatlah data-data yang sama di Afrika Selatan, UK dan juga Australia, coraknya sama.

Apa yang menarik ialah jumlah kemasukan ke hospital. Walaupun jumlah kes Omicron jauh lebih besar berbanding dengan Delta dan varian sebelumnya, kadar kemasukan hospital Omicron rendah. Namun, oleh kerana bilangan kes adalah besar, risiko kemasukan ke hospital dan ketidakcukupan katil serta bilik ICU tetap ada.

Pada pandangan saya, ada baiknya pihak KK mula kongsikan bilangan kes dan bilangan kemasukan ke hospital di rajah yang sama. Ini akan memudahkan rakyat faham nombor mana yang lebih kritikal, bilangan kes atau pun kemasukan ke hospital. Memisah-misahkah data akan memisahkan cerita yang dibawa oleh data.

Kita kena menyediakan rakyat untuk melihat Covid-19 sebagai endemik. Macam rasuahlah, dah endemik sehingga orang yang dah disabitkan kesalahan di mahkamah pun masih dipuja-puja dan mahu diangkat lagi. Fakta kes tidak dipedulikan. Yang penting, nak naikkan supaya masyukk lagi.

Itulah sifat-sifatnya apabila satu-satu perkara sudah endemik. Jadi, tak mustahil kita hanya perhatikan sahaja bilangan kemasukan ke hospital dan tidak perlu lagi membuat ujian Covid-19 sama seperti kita tidak diuji di dalam kes-kes selsema yang lain.

Untuk menjadikan rakyat lebih faham berkenaan apa yang harus ditumpukan bila Covid-19 sudah dianggap endamik, KK juga kena menukar naratifnya. Sudah lebih 2 tahun kita ditakut-takutkan dengan bilangan kes, penutupan aktiviti ekonomi dan sosial dan penguatkuasaan undang-undang yang membezakan kedudukan rakyat. Mulai sekarang kena cerita bagaimana kita kena hidup dengan Covid-19 termasuk meyakinkan rakyat berkenaan vaksin dan penggalak. Keluarkan lebih banyak data, jika tidak rakyat akan mula mencari bomoh-bomoh.

Sebagai rakyat, kita pun kena cari ilmu yang berteraskan data. Boleh juga ikuti ulasan harian Dr John Campbell, seorang doktor pesara yang mengulas perkembangan Covid-19 berdasarkan data-data yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kredibiliti yang tinggi. Walaupun beliau tidak semestinya sentiasa betul, beliau jauh lebih baik dari orang-orang yang membincangkan berkenaan Covid-19 tanpa apa-apa asas.

Saluran Youtube beliau adalah di sini https://youtube.com/c/Campbellteaching

Semoga Allah berikan kita semua taufik dan hidayahNya agar kita berkelakuan dengan kelakuan yang melayakkan Allah mengangkat Covid-19 dari masyarakat kita. Mungkin kita boleh bermula dengan membenci rasuah, korupsi dan salahguna kuasa. Susah sangat ke?

Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Ini adalah tulisan di facebook beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan