MOHD ALI HASHIM
Rakyat negeri Johor diingatkan supaya jangan tersilap langkah sekali lagi dalam membuat pilihan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor kali ini.
Kesilapan yang dibuat akan menyebabkan rakyat sendiri terseksa sekaligus menjadikan mereka sebagai mangsa untuk diratah secara mentah oleh pimpinan politik yang terlalu gilakan kuasa semata-mata bagi memastikan survival politik mereka terus kekal berkuasa.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sembrong, Mohd Shahrun Radzi Salehudin berkata, sejak pemerintahan kerajaan BN-PN, pelbagai kerosakan ketara telah terserlah, apa lagi dengan nafsu yang tinggi bagi memastikan tampuk pemerintahan sekali lagi didominasi oleh parti itu.
“Sejak pengkhianatan ‘Langkah Sheraton’ kita dapat lihat betapa kerosakan besar berlaku dalam masyarakat apabila banyak pimpinan politik diisi temolok mereka dengan menguasai GLC dan seumpamanya.
“Begitu juga dengan kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan legasi yang ditinggalkan dengan menjadikan PN pula sebagai medium untuk menguasai kleptokrasi yang telah sekian lama menjadi amalan.
“Rakyat negeri Johor wajib membuat reformasi kali ini dengan menolak secara total kepimpinan Umno-BN maupun PN sekiranya tidak mahu nasib rakyat terus dihimpit dengan pelbagai masalah ekonomi dan sara hidup seperti mana sedia ada tatkala ini,” ujar beliau ketika dihubungi.
Malah katanya, PH mampu untuk membawa pembaharuan kepada rakyat negeri Johor dan mandat yang ada di tangan rakyat Johor khususnya pengundi muda haruslah digunakan semaksima mungkin dalam PRN kali ini.
Beliau turut menyeru agar pengundi Johor keluar beramai-ramai menolak kepimpinan BN-Pas maupun PN dari terus menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk mengkayakan pimpinan politik kumpulan tersebut.
Beliau yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Sembrong turut berkata, PH mampu untuk mengulangi kemenangan dalam PRN kali ini sekiranya rakyat sedar bahawa PH boleh membawa lebih banyak reformasi yang memanfaatkan rakyat jika dibandingkankan dengan omongan kosong kerajaan sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan