Dua halangan ganggu Ismail Sabri cipta kejayaan dalam PRU-15

SHAHBUDIN HUSIN

Apabila MT Umno membuat keputusan menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15, selain ia merupakan gambaran yang memperlihatkan kesepakatan parti itu, ramai juga yang melihatnya sebagai peluang lebih cerah untuk BN mengecap kemenangan.

Diperkatakan bahawa dengan watak Ismail Sabri yang tidak kontroversi, tiada isu mahkamah atau keluarga yang menyusahkannya serta sikapnya yang suka memilih jalan damai berbanding berbalah dengan blok pembangkang, tidak kurang yang melihat beliau mungkin mampu mengulangi kejayaan cemerlang BN seperti PRU tahun 2004 dahulu.

Pada 2004, Umno dan BN ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi yang baru mengambil alih pentadbiran parti serta kerajaan pada 2003 daripada Tun Mahathir Mohamad.

Pertama kami mengetuai PRU, BN ketika itu telah berjaya memenangi 198 daripada 222 kerusi Parlimen dan merupakan rekod paling cemerlang setakat ini.

Sebagaimana sokongan rakyat kepada Tun Abdullah kerana wataknya yang baik dan tidak kontroversi, tidak dinafikan persamaan perwatakan itu kini ada pada Ismail Sabri. 

Cuma, yang membezakan ialah suasana dan cabaran politik ketika itu tidak sama seperti sekarang ini.

Namun, jika perbalahan dan pertembungan sesama sendiri di kalangan blok pembangkang dan mereka yang tidak mahu melihat kemenangan Umno tidak menemui jalan penyelesaian, tidak mustahil pengundi akan memilih mereka kepada BN sebagai jalan selamat agar kerajaan yang dipilih nanti mempunyai majoriti yang kukuh.

Bagi sesetengah pihak, dalam keadaan blok pembangkang berkecamuk dan berpecah, adalah tidak berguna memberi undi kepada mereka kerana ia akhirnya tidak mungkin juga membuatkan kerajaan baharu dapat ditubuhkan.

Pilihan lain, sebagai protes dan bosan, tidak mustahil pilihan yang dibuat ialah tidak keluar mengundi sebagaimana berlaku dalam PRN Melaka dan Johor baru-baru ini.

Begitu pun, sementara laluan untuk Ismail Sabri mencipta kemenangan buat Umno dan BN terlihat lebih cerah, halangan dalaman yang dihadapinya tetap ada. 

Sekurang-kurangnya ada dua halangan yang boleh mengganggu atau menghalang Ismail Sabri sebagai “poster boy” BN dan calon Perdana Menteri daripada mencipta kemenangan dalam PRU-15 akan datang ini.

Pertama, beliau mestilah dilihat sebagai Perdana Menteri yang sebenar selepas PRU-15 itu nanti, bukan sekadar calon Perdana Menteri semata-mata.

Dalam istilah moden, janganlah sampai barang lain yang ditempah, tapi barang lain pula yang diterima.

Ini bermakna, Ismail Sabri mesti diberi peranan untuk mengetuai PRU-15 itu dan berkuasa meletakkan orang-orang yang dipercayainya sebagai calon sebagai persiapan untuk pasukannya membina kerajaan.

Jika perkara itu tidak terlihat di mata pengundi, tambahan lagi jika kluster mahkamah masih bertanding dan meletakkan orang-orang yang diketahui rapat dengan kumpulan tersebut, ia pasti akan menimbulkan penolakan daripada pengundi.

Bagi pengundi, tidak guna mereka memenangkan BN kalau ternampak begitu jelas akhirnya kumpulan lain yang lebih menguasai kemenangan yang dicapai nanti.

Untuk itu, jika BN mahu Ismail Sabri benar-benar diyakini oleh pengundi, penglibatannya dalam pemilihan calon dan peranan ketika kempen hendaklah benar-benar dilihat meyakinkan.

Kedua, sementara pencalonan Ismail Sabri merupakan gambaran kesepakatan Umno, ia juga secara tersiratnya menunjukkan kepimpinan Umno membuka jalan kepadanya untuk mengambil alih kepimpinan parti selepas itu.

Secara tradisinya, belum pernah calon Perdana Menteri Umno tidak dijadikan Perdana Menteri atau diketepikan setelah kemenangan diperolehi.

Dalam hal ini, selain gambaran Ismail Sabri akan tetap dijadikan Perdana Menteri mesti diperlihatkan dengan sejelas-jelasnya, langkah terbaik membuktikannya kepada pengundi ialah dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengundur diri dan tidak lagi bertanding sebagai calon dalam PRU-15 akan datang.

Untuk apa lagi mereka mahu bertanding, sedangkan Ismail Sabri sudah ada sebagai calon Perdana Menteri?

Kalau benar sayangkan Umno dan ingin parti beroleh kemenangan, tidak bertanding bukan saja suatu pengorbanan yang seharusnya mereka lakukan, bahkan itulah yang sepatutnya dilakukan.

Tambahan lagi, dalam tradisi Umno juga, belum pernah mereka yang ada kes mahkamah terus diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Mereka biasanya akan direhatkan sehinggalah kes masing-masing selesai di mahkamah.

Tradisi itu jika dimungkiri, percayalah, sebagaimana BN ditolak dalam PRU-14 yang secara kebetulan Najib dan Zahid Hamidi juga mengetuai BN dan kerajaan ketika itu, sejarahnya pasti berulang lagi.

Kepada Zahid Hamidi dan Najib, mahukan mereka BN kalah sekali lagi ketika kemenangan begitu terbuka melalui Ismail Sabri?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan